Peluang lanjut pelajaran di IPTS

(Universiti Curtin Kampus Sarawak di Miri menjadi alternatif kepada pelajar yang gagal mendapat tempat di Universiti Awam bagi sesi akademik 2022/2023 bermula Oktober ini. – Gambar Hiasan)

Oleh Rohana Man

KUCHING – Pelajar yang gagal mendapat tempat di Universiti Awam (UA) seluruh negara berikutan tempat yang terhad dan persaingan sengit masih boleh meneruskan cita-cita belajar di menara gading.



Mereka boleh memilih mana-mana institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang diiktiraf kerajaan bagi mengikuti program pengajian di peringkat diploma mahupun ijazah sarjana muda.

Di Semenanjung, antara IPTS yang diiktiraf kerajaan adalah Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Management Science University (MSU), Multimedia University (MMU), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Universiti Selangor (Unisel) dan Limkokwing University of Creative Technology.

Terdapat banyak IPTS yang menawarkan kursus yang sesuai dengan kelulusan akademik pemohon termasuk di Sabah dan Sarawak.

Di Sarawak misalnya, terdapat lima IPTS yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelajar baru pada setiap semester, antaranya Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Kampus Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), International College of Advanced Technology Sarawak (ICATS) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).



Kesemua IPTS tersebut dimiliki kerajaan Sarawak dan boleh menjadi alternatif kepada pelajar yang gagal dalam permohonan kemasukan ke UA pada tahun ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata, pelajar Sarawak yang gagal melanjutkan pengajian di UA selepas permohonan mereka menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) ditolak, masih berpeluang melanjutkan pengajian peringkat tinggi.

Menurutnya, pelajar terbabit boleh menyambung pelajaran di lima buah IPTS yang dimiliki kerajaan negeri Sarawak.

Katanya, pilihan itu merupakan satu alternatif kepada pelajar terbabit dalam menempatkan diri bagi mengikuti kursus pilihan di institusi berkenaan.



“Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) kini diuruskan Yayasan Sarawak dan sentiasa membuka peluang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian.

“Ini bermakna peluang anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran kini sentiasa terbuka,” katanya dalam Majlis Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak untuk guru dan pelajar cemerlang di sini, baru-baru ini.

Laporan akhbar tempatan hari ini menyiarkan berita mengenai 20,732 calon yang layak gagal melanjutkan pelajaran ke UA kerana tempat yang terhad.

Untuk kemasukan tahun ini, UPU menerima 115,477 permohonan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf.



Daripada jumlah itu, 90,745 calon layak dan melepasi syarat am, namun hanya 71,615 tempat mampu disediakan di 20 buah UA seluruh negara bagi kemasukan sesi akademik 2022/2023.

Daripada jumlah calon yang berjaya, sebanyak 48,665 calon kategori STPM, matrikulasi dan asasi; 2,964 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta 19,976 calon diploma atau setaraf.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, dahulu jika berhasrat untuk melanjutkan pelajaran, pelajar hanya tertumpu kepada membuat permohonan menerusi UPU.

Namun, katanya, ramai yang tidak mendapat tempat kerana persaingan sengit dan tempat di UA yang terhad.



“Ada juga pelajar enggan melanjutkan pengajian apabila jurusan yang ditawarkan menerusi UPU tidak menepati minat mereka,” tambahnya.

Justeru, katanya, dengan pemilikan ke atas lima institusi pengajian tersebut, para pelajar Sarawak mempunyai pilihan dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada UPU untuk melanjutkan pengajian, selain masih boleh memilih jurusan yang diminati.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button