Pilih kursus pastri, kini jana RM40,000 sebulan

Nur Alia Musfirah Mohamad Aris memiliki dua cawangan kafe Acocafe yang terletak di Kepala Batas dan Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Oleh Azrin Muhammad

KEPALA BATAS – Siapa sangka seorang penuntut Kolej Komuniti Tasek Gelugor dalam bidang Sijil Pastri beberapa tahun dahulu berjaya bergelar usahawan muda apabila berjaya membuka dua cawangan kafe milik sendiri pada usia muda dengan pendapatan bersih mencecah RM40,000 sebulan.



Nur Alia Musfirah Mohamad Aris, 22, membuktikan dirinya mampu menjadi usahawan muda dengan memiliki Acocafe iaitu sebuah kafe yang menawarkan pelbagai jenis kek dan kopi di Kepala Batas dan kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Difahamkan, kesemua produk yang dijual di kedua-dua cawangan kafe tersebut merupakan hasil pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) semasa di kolej komuniti.

Menurut Nur Alia Musfirah, nasihat keluarganya yang mahu dia menyambung pelajaran ke Kolej Komuniti Tasek Gelugor menjadi pencetus kepada kerjayanya pada hari ini.

“Waktu lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak dapat banyak tawaran untuk sambung belajar kerana keputusan yang kurang memberangsangkan dan keluarga saya menasihatkan untuk sambung belajar di Kolej Komuniti Tasek Gelugor kerana berdekatan dengan rumah.



“Semasa di kolej, saya banyak belajar tentang teknik-teknik baharu dalam bidang pastri serta belajar asas keusahawanan digital sebelum menanam impian untuk memiliki perniagaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Tambahnya, setelah tamat pengajian dan dua tahun membina jenama serta meraih kepercayaan dalam kalangan pelanggan, beliau terus berusaha mempelajari ilmu pengurusan perniagaan dan pemasaran digital.

Selain tu, Nur Alia Musfirah memberitahu beliau sentiasa komited untuk berusaha membuktikan bahawa bidang kemahiran adalah pilihan yang tepat untuk diceburi golongan belia.

“Setakat ini, Acocafe mempunyai seramai 20 orang pekerja termasuk studio pastri Sweetrolley yang diusahakan sendiri untuk berkongsi ilmu tentang pembuatan kek kepada mana-mana pihak yang berminat untuk belajar, selain aktif dalam pelbagai pertandingan kemahiran dan inovasi,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button