Rusuhan penyokong di Malang kedua terburuk



KUALA LUMPUR: Insiden kematian yang kini meningkat kepada 129 orang di Stadium Kanjuruhan, Malang – adalah yang kedua terburuk dalam sejarah tragedi ketika perlawanan bola sepak.

Rusuhan penyokong ketika aksi Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya itu mengatasi tragedi di Stadium Accra Sports, Ghana yang mengorbankan 126 nyawa.

Tragedi paling buruk ialah di Lima, Peru, di mana 328 nyawa terkorban ketika aksi kelayakan Olimpik Tokyo antara Peru dan Argentina pada 24 Mei 1964.

Ketika permainan berbaki dua minit di Estadio Nacional itu, Argentina masih mendahului 1-0. Kemudian Peru menjaringkan gol penyamaan, tetapi dibatalkan pengadil dari Uruguay, Angel Eduardo Pazos, yang didakwa berat sebelah.



Insiden tercetus apabila seorang penyokong tuan rumah bernama Bomba, meluru ke dalam padang dan membelasah pengadil. Apabila penyokong kedua masuk, dia dibelasah dengan teruk oleh polis.

Akhirnya lebih ramai penyokong masuk ke padang dan pihak polis turut menjadi mangsa. Rusuhan tercetus dan polis menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong.

Bagaimanapun dengan pintu keluar ditutup dan lebih banyak gas pemedih mata dilancarkan, penyokong mula bersesak dan ramai yang terperangkap.

Selepas dua jam, pintu dibuka semula dan sekurang-kurangnya 328 orang terkorban akibat sesak nafas dan dipijak. Ada dakwaan mengatakan jumlah korban sebenarnya lebih tinggi kerana pihak berkuasa ingin menutup kematian disebabkan tembakan oleh pihak polis.

Insiden hampir sama berlaku 37 tahun kemudian ketika perlawanan di antara Accra Hearts dan Asante Kotoko di Stadium Accra Sports.

Akibat tewas 2-1 di tangan Accra Hearts, penyokong Kotoko mengamuk dan mula membuat kacau. Polis menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah tetapi bukan hanya penyokong Kotoko yang menjadi mangsa.

Senarai insiden keganasan bola sepak:

Insiden (Tarikh – angka korban)

Estadio Nacional, Lima, Peru (24 Mei 1964 – 328)

Stadium Kanjuruhan, Malang (9 Okt 2022 – 129)

Stadium Accra Sports, Accra, Ghana (5 Sept 2001 – 126)

Hillsborough, Sheffield, England (15 Apr 1989 – 96)

Stadium Dasharath, Kathmandu, Nepal (12 Mac 1988 – 93)

Stadium Flores Mateo, Guatemala (16 Okt 1996 – 80)

Stadium Port Said, Mesir (1 Feb 2012 – 79)

Estadio Monumental, Buenos Aires (23 Jun 1968 – 71)

Stadium Ibrox, Glasgow, Scotland (2 Jan 1971 – 66)

Stadium Lenin, Moscow (20 Okt 1982 – 66)

Stadium Bradford City, England (11 Mei 1985 – 56)

Stadium Ellis Park, Johannesburg (11 Apr 2001 – 43)

Stadium Oppenheimer, Orkney (13 Jan 1991 – 42)

Stadium Ataturk Kayseri, Turki (17 Sept 1967 – 40)

Stadium Heysel, Brussels, Belgium (29 Mei 1985 – 39)

Burnden Park, Bolton, England (9 Mac 1946 – 33)

Stadium Ibrox, Glasgow, Scotland (5 Apr 1902 – 26)

Estadio Olimpico, Cali, Colombia (18 Nov 1982 – 24)

Stadium Karaiskakis, Piraeus, Greece (8 Feb 1981 – 21)

Stade Armand-Cesari, Corsica, Perancis (5 Mei 1992 – 18)

Stadium Matokeo, Butembo, DR Congo (14 Sept 2008 – 13)

Stadium Alexandria, Mesir (1 Jan 1999 – 11)

– AGENSI



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker