Waris mangsa terima pampasan RM15,189

Rusuhan Stadium Kanjuruhan: Waris mangsa terima pampasan RM15,189

Penyokong Arema mungkin diharamkan hadir perlawanan akan datang
KELUARGA mangsa menunggu di luar hospital di Malang, Jawa Timur. – AFP

JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan memberi pampasan sebanyak 50 juta rupiah (AS$3,268) atau RM15,189 kepada sekurang-kurangnya 125 keluarga mangsa yang maut dalam rempuhan stadium bola sepak pada malam Sabtu lalu, kata seorang Menteri Kanan.

Pejabat Presiden Joko Widodo bercadang memberikan pampasan itu dalam tempoh satu atau dua hari ini.

Kematian akibat rempuhan di Stadium Kanjuruhan di daerah Malang meningkat kepada 174 mangsa serta ratusan lain cedera susulan tembakan gas pemedih mata dilepaskan oleh pihak polis.

Tindakan yang didorong oleh rusuhan penyokong ketika aksi Liga 1 Indonesia antara Arema FC (Arema) dan Persebaya Surabaya (Persebaya) itu, menyebabkan penonton cuba merempuh keluar daripada stadium.



Kejadian didakwa berlaku apabila penyokong Arema tidak berpuas hati selepas pasukan mereka tewas 3-2 lalu menceroboh ke dalam padang sehingga menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Sementara itu, kerajaan Indonesia menggesa polis mengenal pasti dan menghukum individu yang bertanggungjawab ke atas insiden rempuhan di stadium hingga mengorbankan 125 nyawa, manakala 323 orang lagi cedera.

Ketua Menteri Keselamatan, Mahfud MD dalam satu kenyataan, berkata pihaknya mengarahkan polis negara mencari pelaku yang melakukan jenayah itu dalam insiden berkenaan.

“Kami meminta mereka mendedahkan siapa yang melakukan jenayah itu dan tindakan mesti diambil terhadap mereka dan kami juga berharap Polis Negara akan menilai prosedur keselamatan mereka,” katanya.



REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button