Polis tumpaskan Geng Mawar aktif pecah rumah di Seberang Perai Utara

BUTTERWORTH – Polis menumpaskan ‘Geng Mawar’ yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, pihaknya menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja dan seorang wanita berusia lingkungan 16 sehingga 37 tahun.

Katanya, kesemua suspek ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Bertam Perdana dan Sungai Petani, Kedah kira-kira pukul 3.40 pagi.



“Siasatan awal mendapati kumpulan terbabit aktif memecah masuk rumah di beberapa taman perumahan antaranya Bertam Perdana, Kubang Menerong dan Tasek Gelugor.

“Modus operandi yang digunakan kumpulan itu adalah dengan memerhatikan rumah yang tidak berlampu dalam tempoh sehari dua. Mereka akan memecah masuk ke dalam rumah pada hari ketiga melalui pintu belakang atau laluan yang terlindung daripada penglihatan umum,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah SPU, di sini hari ini.

Beliau berkata, pelbagai barangan ditemukan antaranya kasut dan beg berjenama, telefon bimbit, komputer riba, pelbagai mata wang asing, barang kemas dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM250,000.

Polis turut menyita sebuah Proton Wira yang digunakan kumpulan itu untuk menjalankan kegiatan terbabit.



“Keempat-empat suspek termasuk remaja yang masih bersekolah itu didapati memiliki pelbagai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah. Dengan tertangkapnya keempat-empat suspek itu, kita yakin berjaya menyelesaikan 16 kes pecah rumah di daerah ini,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan pihaknya akan mohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh penahanan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan curi.

© Utusan Online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button