Kerajaan baharu akan bentang Bajet semula jika PRU dalam masa terdekat

Kerajaan baru perlu membentangkan semula belanjawan jika pilihan raya umum (PRU) diadakan sebelum Bajet 2023 diluluskan di Parlimen, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, jika belanjawan dibentangkan semula pun, ia tetap tidak akan menggagalkan tujuan belanjawan yang disediakan Kementerian Kewangan.

Malah dia menjelaskan, belanjawan negara pernah dibentangkan semula oleh kerajaan baru selepas PRU 1999 dilangsungkan. Ketika itu kerajaan diketuai Dr Mahathir Mohamad.



“Ini pernah berlaku sebelum ini. Jadi, kalau rujuk balik apa yang berlaku pada 1999 apabila pembubaran parlimen berlaku selepas belanjawan dibentangkan.

“Belanjawan dibentangkan semula, jadi, itulah yang akan berlaku jika ada pembubaran (selepas ini),” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2023 di parlimen hari ini.

Pembentangan Bajet 2023 menjadi tanda tanya hingga ke saat akhir apabila ada desas-desus yang mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengumumkan pembubaran parlimen dalam tempoh terdekat.

Malah status pembentangan itu juga menjadi perhatian ramai dan hanya terjawab apabila Tengku Zafrul membuat pembentangan hari ini.



Ditanya lebih lanjut mengenai kedudukan Bajet 2023 dan statusnya selepas ini, Tengku Zafrul meminta media bertanya kepada Ismail Sabri.

Kata bekas tokoh perbankan itu lagi, tidak timbul isu belanjawan bertindih jika ia dibentangkan sekali lagi kerana parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan.

“Tidak, tidak ada asas apa yang anda katakan tadi,” katanya merujuk kepada soalan yang ditanya wartawan.

Tambah Tengku Zafrul, belanjawan disediakan dengan memberi tumpuan kepada hala tuju masa depan negara, jangkaan ekonomi dan seumpamanya untuk tahun depan.



© Malaysiakini

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button