Hatrik Kipre julang Terengganu

MELAKA: Jaringan hatrik Tchetche Kipre membantu Terengganu FC menewaskan Melaka United (MU) 4-2 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam semalam.

Satu lagi jaringan pelawat dihasilkan menerusi penyerang kebangsaan Mohamad Faisal Halim bagi membolehkan mereka pulang dengan tiga mata walaupun diberi cabaran hebat tuan rumah yang beraksi tanpa kelibat pemain import.

The Turtles jelas tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan menarik Kipre pada minit ketiga selepas menerima hantaran Faisal.



Ketika Melaka berusaha merencana untuk memburu jaringan penyamaan, pelawat sekali lagi merobek kubu tuan rumah juga menerusi sentuhan Kipre pada minit ketujuh perlawanan.

Gol terbabit juga berpunca daripada hantaran Faisal yang disambut baik Kipre seterusnya melakukan tolakan ke gawang tuan rumah yang gagal diselamatkan penjaga gol Melaka, Norazlan Razali.

Dua gol awal pelawat bagaimanapun tidak mematahkan semangat skuad Hang Tuah untuk memberi tentangan kepada naib juara Piala FA terbabit dengan berusaha keras mengimbangi perlawanan namun mereka terus diasak hebat anak buah jurulatih Nafuzi Zain.

Malah Kipre sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-37 selepas menolak masuk gol ketiga selepas menerima hantaran Faisal untuk melengkapkan hatriknya dalam perlawanan terbabit.



Dalam keghairahan The Turtles mencari jaringan tambahan, Melaka bangkit untuk merapatkan jurang selepas Mohamad Faris Shah Mohd Rosli menjaringkan gol pertama mereka menerusi sepakan penalti pada minit ke-43.

Sepakan penalti dihadiahkan kepada tuan rumah selepas Mohamad Faris Shah dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Mohamad Aris Fadzilah Abu Bakar.

Semangat skuad Hijau Putih terus membuak sebaik babak kedua bersambung dengan melakukan gerakan menarik bagi merapatkan defisit gol.

Hasilnya mereka berjaya mencipta gol kedua pada minit ke-52 menerusi sayap kanan Syahmi Shamsudin selepas menerima hantaran Syahrul Azwari Ibrahim yang menewaskan penjaga gol Mohd Suhaimi Husin.



Namun pasukan Hitam Putih terus membuktikan kemantapan mereka dengan menambah jaringan keempat pada m-70 dengan kali ini menerusi rembatan kencang Faisal dari dalam kotak penalti selepas mengutip hantaran Mohamad Hakimi Abdullah untuk selesa dengan kemenangan 4-2 di bumi Hang Tuah.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button