Pemain piano Jepun Toshi Ichiyanagi meninggal dunia



TOKYO – Pemain piano dan komposer legenda dari Jepun, Toshi Ichiyanagi dilaporkan meninggal dunia, pada Jumaat.

Memetik laporan Billboard, Ichiyanagi berusia 89 tahun seorang yang gemar bereksperimen dalam menghasilkan muzik luar biasa.

Mendiang turut berjaya membawa perubahan besar dalam dunia muzik di Jepun.

Pengerusi Yayasan Seni Kanagawa, Kazumi Tamamura menyifatkan pemergian Ichiyanagi sebagai kehilangan terbesar dalan industri muzik dunia.



“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyayanginya sepanjang hayatnya,” katanya.

Untuk info, Ichiyanagi mendapat pendidikan di sekolah seni, The Juilliard, New York dan muncul sebagai perintis apabila menggunakan teknik gubahan muzik cemerlang sekali gus menggabungkan irama tradisional Jepun dan muzik moden dalam karyanya.

Terkenal dengan karya melangkaui sempadan, Ichiyanagi pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar antaranya pelukis terkenal Jasper Johns, koreografer Merce Cunningham, arkitek Kisho Kurokawa dan penyair Shuji Terayama.

Dalam pada itu, Ichiyanagi juga dilaporkan pernah berkahwin dengan seniwati Jepun, Yoko Ono selama beberapa tahun pada pertengahan 50-an sebelum wanita itu berkahwin dengan John Lennon.



Antara karya terkenalnya ialah muzik puisi orkestra “Berlin Renshi” yang disifatkan berunsur provokasi.
Sementara itu, majlis pengebumian Ichiyanagi berlangsung secara tertutup dan hanya dihadiri oleh anggota keluarga sahaja.

Media Jepun memaklumkan anak lelaki mendiang sedang mengusahakan satu majlis memperingati untuk orang awam dimana tarikhnya akan diumumkan kelak.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker