Subsidi ayam dan telur akan diteruskan sehingga hujung tahun

KUALA LUMPUR – Pemberian subsidi kepada penternak dan pengeluar telur ayam akan diteruskan dari Oktober hingga Disember ini, selari persetujuan dicapai pada mesyuarat Kabinet, pada Jumaat lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata ia membabitkan kadar 80 sen bagi sekilogram ayam, manakala lapan sen bagi sebiji telur dengan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira harga siling kedua-dua bahan berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaannya akan membabitkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM573.96 juta kepada kerajaan, selain menjelaskan sejumlah RM1.233 bilion sudah diperuntukkan bagi subsidi ayam dan telur ayam dari Februari hingga September lalu.



Pemberian subsidi itu, katanya, bertujuan meringankan beban penternak susulan peningkatan kos pengeluaran berterusan, terutama kos makanan ayam, meliputi 70 peratus daripada kos pengeluaran selain anak ayam (DOC), logistik, pekerja, utiliti dan ubat-ubatan.

Harga siling ayam standard di peringkat runcit ketika ini dikekalkan pada kadar RM9.40 sekilogram, manakala telur ayam gred A, B dan C, masing-masing 45 sen, 43 sen dan 41 sen sebiji, di Semenanjung.

“Sebanyak 13,440 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM1.136 bilion diluluskan kementerian, setakat 4 Oktober lalu. Semua penternak boleh terus mengemukakan permohonan supaya subsidi dapat disalurkan.

“Kerajaan terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dengan meneruskan pemberian subsidi supaya bekalan dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga stabil dan berpatutan.



“Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan ayam dan telur di pasaran kekal terjamin dengan harga berpatutan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, dilaporkan berkata mesyuarat Kabinet bersetuju menaikkan subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C daripada tiga sen ketika ini kepada lapan sen, membabitkan pertambahan subsidi telur ayam kepada lebih RM90 juta setiap bulan.

Beliau antara lain menjelaskan, Kabinet turut bersetuju tidak menaikkan atau mengapung harga telur ayam di pasaran bagi mengelak peningkatan kos sara hidup.

Kedua-dua keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan rakyat dan beban peningkatan kos pengeluaran telur ayam yang ditanggung pengeluar serta pengedar.



Kerajaan pada Februari lalu mengumumkan pemberian subsidi 60 sen sekilogram kepada penternak ayam, manakala harga siling ayam standard ditetapkan RM9.40 sekilogram sejak 1 Julai 2022.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button