PAS akan putuskan untuk bubar DUN dalam mesyuarat esok

KUALA TERENGGANU – Sebarang keputusan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri diterajui PAS dibubarkan atau sebaliknya akan diputuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS esok.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata mesyuarat itu akan diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan perkara berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata PAS sudah berulang kali menegaskan mengenai ketidaksesuaian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan di saat negara bakal menghadapi musim banjir yang kini bukan sahaja berlaku di Pantai Timur.



“Rakyat boleh buat pelbagai andaian mengenai tujuan dan kehendak pembubaran ini.

“Memaksa pilihan raya diadakan pada saat rakyat menghadapi kesusahan adalah tidak sesuai dan memberikan indikasi parti yang mendesak adalah hanya memikirkan diri individu mereka sahaja,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media pada Sabtu lalu memutuskan tiga negeri yang dikuasai iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN dalam masa terdekat.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.



Petang tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU-15.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button