Inflasi jejas kuasa beli majoriti B40, sebahagian M40 di bandar

Shopping Mall

KUALA LUMPUR: Tekanan harga yang dihadapi ketika ini memberi impak kepada kuasa beli dan kebajikan kumpulan isi rumah B40 dan sebahagian M40 di kawasan bandar.

Laporan kaji selidik Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS UPMCS (EU-ERA) mendapati, lapan daripada 10 responden terkesan dari segi keupayaan kewangan untuk menampung perbelanjaan harian.

Kaji selidik bertajuk Meniti Tititan Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi itu mendapati, sebanyak 79.1 peratus daripada yang terkesan adalah daripada kumpulan B40 dan 20.9 peratus daripada kumpulan M40.

“Peningkatan harga mengurangkan kuasa beli kumpulan isi rumah B40 dan sebahagian M40 serta mengubah corak perbelanjaan mereka bagi memastikan kelangsungan hidup.



“Majoriti isi rumah yang terkesan terpaksa mengurangkan saiz hidangan,” demikian menurut laporan itu yang turut dijalankan dengan kerjasama strategik Astro Awani.

Laporan itu adalah hasil data yang dianalisis dalam kajian yang dicerap dengan menggunakan kaedah ‘persampelan bermatlamat’ di 18 Penempatan Perumahan Rakyat (PPR) dan sembilan penempatan di luar PPR sekitar Lembah Klang.

Cerapan data menggunakan kaedah temu bual bersemuka yang dijalankan di antara 23 dan 24 Julai 2022.

Ia menyediakan gambaran realiti kehidupan gologan berpendapatan rendah di bandar akibat tekanan peningkatan harga ketika ini.



Laporan itu juga mendedahkan sebahagian besar isi rumah yang terkesan terdedah kepada risiko ketidaktentuan ekonomi apabila sebahagian besar daripada mereka bekerja di sektor swasta dan sektor tidak formal dengan liputan keselamatan sosial yang terhad.

Hasil cerapan mendapati 64.9 peratus isi rumah adalah bekerja di sektor swasta dan sektor tidak formal dengan 56.9 peratus daripada golongan itu tidak mempunyai perlindungan sosial.

“Satu pertiga daripada mereka yang terjejas tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pekerjaan sekarang dan mereka mengeluarkan caruman KWSP sebelum mencapai had umur persaraan,” katanya.

Laporan itu juga menunjukkan peningkatan harga barang membebankan golongan terkesan dengan menyaksikan perubahan gelagat perbelanjaan semasa.



Cerapan menunjukkan 76.9 peratus golongan yang terkesan terpaksa meningkatkan perbelanjaan bulanan mereka.

Tekanan ke atas kebajikan mereka lebih mendalam apabila peratusan perbelanjaan kepada barangan berkualiti rendah serta pembelian pada kuantiti yang lebih kecil meningkat melepasi dua kali ganda berbanding sebelum kenaikan harga.

Menangani krisis kos sara hidup pada ketika ini memerlukan penambahbaikan kepada instrumen yang sedia ada agar lebih terangkum dan mampan.

Instrumen bantuan sedia ada membantu mengurangkan tekanan harga ke atas golongan yang terkesan.



Walau bagaimanapun, kecekapan instrumen perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan golongan terpinggir atau ‘blind spots’ dapat dikurangkan dan seterusnya memperkukuh kuasa beli golongan terkesan.

Indeks Harga Pengguna (IHP), yang menjadi pengukur kadar inflasi dalam negara untuk makanan dan minuman bukan beralkohol, telah meningkat melepasi empat peratus sejak Mac lalu berbanding dengan kadar kebiasaan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button