Beto Kusyairy sedar diri bersaing dengan nama besar

KUALA LUMPUR – Bersaing dengan aktor nama besar rantau Asia Pasifik seperti Masaki Suda dari Jepun dan Jun Hae-In dari Korea Selatan sudah cukup membanggakan Beto Kusyairy, 42, yang bolos pencalonan akhir pada Asian Academy Creative Awards (AACA) 2022 di Singapura, Disember depan.

Beto yang tidak tahu dirinya dicalonkan penerbit pada anugerah itu, bakal bersaing dengan barisan aktor rantau Asia Pasifik dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik atas tiket drama Scammer 2 lakonannya.

Beto atau nama sebenar, Nurkusyairi Zakuan Osman terharu aksinya dalam drama terbabit diiktiraf penganjur.



“Saya bersyukur dan gembira dengan pencalonan ini. Sejujurnya, saya tidak tahu dicalonkan. Saya dapat tahu daripada teman produksi.

“Ini bukan sebarang anugerah. Acara ini adalah anugerah berprestij peringkat Asia Pasifik. Jadi, sudah tentu saya amat teruja melihat diri dicalonkan sebaris pelakon hebat lain.

“Saya terkejut terpilih dan menang di peringkat kebangsaan (National Winner), seterusnya mewakili negara ke pusingan akhir,” katanya kepada BH Online.

Selain Beto, drama Sammer 2 arahan Norhanisham Muhammad turut dibintangi Zahiril Adzim dan Farah Nabilah.



Drama 28 episod terbitan Radius One Sdn Bhd yang disiarkan di Astro Ria itu berkisar Taqriz lakonan Beto yang mahu menuntut bela atas kematian ayahnya, Cikgu Shah yang menjadi mangsa fitnah dalam urusan penjualan tanah di kampung mereka. Arwah Cikgu Shah dituduh menipu orang kampung dan mengaut semua duit jualan tanah.

Selain Beto, penangan watak Kirana dalam drama Dendam Seorang Isteri membawa tuah kepada Nad Zainal yang terpilih sebagai wakil Malaysia dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik pada AACA 2022.

Nad dan Beto masing-masing diumumkan sebagai National Winner, lalu layak mewakili negara pada Malam Gala AACA 2022, bersaing dengan calon lain pada acara anugerah yang bakal berlangsung di Dewan Chijmes, Singapura, mulai 5 Disember depan.

AACA 2022 dianjurkan bagi meraikan kandungan dan karya kreatif terbaik di rantau Asia Pasifik.



Selain itu, drama bersiri Ganjil terbitan Razor’s Edge Pictures melakar sejarah apabila memenangi empat kategori peringkat National Winner pada AACA 2022.

Ganjil arahan Datuk Yusry Abd Halim memenangi dua kategori utama iaitu Drama Bersiri Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Drama yang disiarkan di saluran penstriman Viu, September tahun lalu itu turut meraih trofi Sinematografi Terbaik dan Kesan Khas Visual Terbaik.

Dengan kemenangan itu, Ganjil akan bersaing dengan drama bersiri terbitan 14 negara Asia Pasifik bagi merebut trofi Drama Bersiri Terbaik pada Malam Gala AACA 2022.



Melihat kepada persaingan hebat, Beto bagaimanapun tidak menganggap dirinya memiliki kelebihan berbanding pelakon lain.

Beto yang meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin 2015 melalui filem Gila Baby itu, mengakui tidak pernah mengejar anugerah sejak aktif berlakon, dua dekad lalu.

“Setiap kali diberi tanggungjawab membawa sesuatu watak, saya hanya fikir bagaimana hendak berlakon sehabis baik.

“Saya lebih memikirkan penerimaan baik penonton berbanding mengejar anugerah. Bagi saya, dicalonkan sudah besar maknanya dan saya rasa cukup dihargai,” katanya yang berkongsi kegembiraan mengenai pencalonannya pada AACA 2022 melalui media sosial.



AACA 2022 memberi pengiktirafan kepada filem dan drama televisyen (TV) yang diterbitkan di 16 negara di Asia Pasifik.

Acara ini dianjurkan Disember setiap tahun yang juga sebahagian daripada Festival Media Singapura.

Diperkenalkan pada 2018, AACA terpaksa dianjurkan secara virtual pada 2020 akibat pandemik COVID-19.

Sebelum ini, filem tempatan Garden Of The Evening Mists pernah diangkat Filem Terbaik pada 2020.



Pelakon Miller Khan pula dinobatkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi drama The Bridge pada 2020, manakala Yeo Yan Yan menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik bagi drama bersiri Invisible Stories untuk HBO pada tahun sama.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button