Harga emas dijangka terus jatuh

NEW YORK: Harga emas jatuh hari ini dan mencatatkan penurunan mingguan kedua berturut-t

 

urut selepas pulangan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun susulan data pasaran buruh yang kukuh dan kenyataan cenderung menaikkan kadar faedah daripada pegawai-pegawai Rizab Persekutuan (Fed), sekali gus menjejaskan daya tarikan logam berharga itu.



Harga spot emas jatuh 0.3 peratus kepada AS$1,622.66, dan susut kira-kira 1.2 peratus minggu ini.

Niaga hadapan emas AS turun 0.5 peratus kepada AS$1,629.20.

Penanda aras pulangan 10 tahun Perbendaharaan mencatatkan paras tertinggi baharu sejak Jun 2008, manakala indeks dolar meningkat 0.1 peratus.

“Fed hanya separuh jalan dalam kitaran mengetatkan dasar dan terdapat kemungkinan lebih banyak ruang untuk kadar faedah terus meningkat, kata Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, sambil menambah harga emas berkemungkinan akan terus jatuh.



Pasaran akan memerhatikan data inflasi serta pekerjaan, kata Innes.

Data semalam menunjukkan jumlah rakyat AS yang memfailkan tuntutan baharu bagi manfaat pengangguran berkurangan minggu lalu, memberi petunjuk bahawa pasaran pekerjaan kekal sempit.

Data berasingan menunjukkan jualan rumah sedia ada AS jatuh buat lapan bulan berturut-turut pada September.

Kenyataan daripada Presiden Fed Philadelphia, Patrick Harker membayangkan bank pusat akan ‘terus menaikkan kadar faedah buat beberapa ketika’ bagi membendung inflasi, menyebabkan pelabur bersedia untuk satu lagi kenaikan bersaiz bersar pada mesyuarat Fed, bulan depan.



Walaupun emas dianggap pelindung nilai terhadap inflasi dan ketidaktentuan ekonomi, kenaikan pantas kadar faedah AS telah meningkatkan kos peluang untuk memegang logam berharga itu, yang tidak menanggung pulangan.

Pegangan dalam SPDR Gold Trust, dana tukaran sokongan emas terbesar di dunia, jatuh 0.19 peratus kepada 930.99 tan pada Khamis.

Harga spot perak jatuh 0.7 peratus kepada AS$18.53 seauns, platinum susut 0.6 peratus kepada AS$908.19 manakala palladium merosot 0.3 peratus kepada AS$2,052.17.

Semua tiga logam itu bagaimanapun, mencatatkan kenaikan mingguan.



Reuters

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button