Anggota bomba didakwa minta dan terima rasuah RM3,000

Shah Alam: Seorang anggota bomba dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada seorang individu, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nor Abdullah, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nor iaitu Penolong Penguasa Bomba Gred KB29 didakwa secara rasuah meminta dan menerima wang berjumlah RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan mendapatkan sokongan daripada pihak bomba untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK).



Justeru tertuduh yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang Zon 3 didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang Zon 3 pada 30 November dan 1 Disember 2021.

Pendakwaan yang dikendali Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melaporkan diri di Pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan.



Tertuduh yang diwakili peguam, PG Cyril meminta wang jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh perlu mempunyai dua anak yang masih kecil berusia 11 dan 9 tahun serta perlu menanggung ibu yang sudah uzur.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri pada setiap 1 hari bulan di Pejabat SPRM Selangor serta tidak dibenarkan untuk memohon atau memperbaharui pasport sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 November depan.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading