‘Helikopter mendarat cemas dalam cuaca buruk’

CAMERON HIGHLANDS: Insiden helikopter mendarat cemas di Brinchang dekat Tanah Rata, di sini dikatakan berlaku dalam cuaca buruk.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya difahamkan ketika kejadian cuaca hujan dan berkabus, selain faktor tiupan angin.

Beliau berkata, insiden berlaku di Kompartment 213, Hutan Simpan Bukit Kinta dalam daerah Kinta, Perak iaitu kira-kira 400 meter dari sempadan Pahang.



Helikopter jenis Airbus AS 355 F2 bernombor pendaftaran 9M-SSW itu, katanya, mengikuti laluan kebiasaan.

“Helikopter itu mengikuti laluannya, namun mungkin juruterbang sudah dapatkan kebenaran daripada pengawal trafik udara untuk menggunakan laluan melintasi Cameron Highlands

“Helikopter itu bukan menghala ke sini (Cameron Highlands) kerana hujan kerana ketika tiba di sini memang cuaca tidak baik.



“Ketika kejadian cuaca buruk, berkabus, hujan, dan angin,” katanya dalam sidang media selepas operasi Carilamat (SAR) selesai di Pejabat Daerah dan Tanah Camerong Highlands, Tanah Rata, di sini, malam ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman.

Mohd Yusri berkata, operasi SAR dimulakan sebaik Pusat Kawalan Daerah (DCC) menerima panggilan jam 1.20 tengah hari, daripada seorang daripada enam mangsa nahas itu.

Katanya, mangsa pertama berjaya dibawa keluar adalah



juruterbang helikopter itu, Kapten Fedzrol Norazam, 43, pada jam 5.35 petang dan dilapor mengalami pendarahan dalaman.

Mangsa terakhir dibawa keluar, katanya, dikenali sebagai Hashilawati, 48, kira-kira jam 8.40 malam tadi.

Tinjauan mendapati Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) insiden terbabit didirikan dalam kawasan kebun sayur di kawasan berbukit.

Beliau berkata, operasi SAR ditamatkan jam 9 malam tadi dengan semua enam mangsa berkenaan iaitu seorang juruterbang dan lima pegawai perubatan daripada Pasukan Doktor Udara (PDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Tanjung Rambutan, Ipoh dihantar ke Hospital Hajjah Kalsom, Tanah Rata, di sini untuk menerima rawatan.



Selain Fedzrol, lima yang lain adalah pegawai perubatan iaitu Dr Munirah, 35; Norasyikin, 38; Hashilawati, 48; Muhamad Azlan, 31; dan Zainurol Fazlan, 40; dengan dua daripada mereka dilaporkan cedera parah.

Mohd Yusri lagi, operasi SAR tidak mengalami kesulitan berikutan 127 anggota ditugaskan meliputi pelbagai agensi iaitu polis, bomba, Jabatan Perhutanan, Komando 69 PDRM dan lain-lain.

Katanya, keterangan Fedzrol akan diambil selepas beliau mendapat rawatan secukupnya dan akan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“CAAM juga akan menguruskan prosedur mengalih dan mengeluarkan bangkai pesawat selepas siasatan selesai.



“Siasatan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkitan (MOT),” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button