Lebih banyak peluang kerja golongan muda

ISHAM JALIL akan bekerja keras bagi memastikan golongan muda mendapat pekerjaan. – Gambar Hiasan

Oleh Rohana Man

SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Abdul Jalil, berkata, beliau akan bekerja keras untuk memberi kemenangan kepada BN demi rakyat.



Sehubungan itu, beliau memerlukan sokongan padu dan kerjasama semua pihak bagi merebut kerusi tersebut daripada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Menurutnya, hanya dengan kemenangan kerusi tersebut, beliau dapat berkhidmat untuk rakyat terutama dalam membantu menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan kependudukan.

“Saya pohon kerjasama semua pihak untuk memenangkan kerusi ini agar saya dapat berkhidmat untuk rakyat.

“Doakan saya,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, baru-baru ini.



Beliau mengucapkan terima kasih kepada UMNO Bahagian Shah Alam, Veteran UMNO Selangor dan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor kerana telah mencadangkan pencalonannya kepada kepimpinan tertinggi parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu diberi kepercayaan untuk mengembalikan kerusi Parlimen Shah Alam ke pangkuan BN selepas dikuasai Pakatan Rakyat dan PH selama tiga penggal sejak PRU-12.

Menjawab pertanyaan wartawan, Isham berkata, antara perkara pertama yang beliau akan lakukan selepas memenangi kerusi tersebut adalah menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Katanya, ia adalah salah satu inisiatif yang dicadangkan dan akan dilaksanakan demi memastikan anak-anak muda yang masih menganggur mendapat pekerjaan.



“Apa yang saya nak bawa kelak adalah mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda. Itu yang paling utama.

“Jadi, kita kena bantu peniaga dahulu kerana golongan peniagalah yang akan memberi pekerjaan kepada anak muda,” ujarnya.

Selain itu, Isham berkata, beliau juga akan memastikan kadar sewa kedai tidak dinaikkan sewenang-wenangnya sehingga membebankan peniaga.

Ini kerana katanya, jika sewa kedai naik maka peniaga terpaksa membuang pekerja bagi mengurangkan kos upah pekerja.



“Kita nak buka peluang kerja yang lebih luas dalam kalangan anak muda, bukan melihat mereka yang sudah ada kerja, ditamatkan perkhidmatan kerana peniaga tidak mampu bayar sewa kedai dan upah pekerja,” katanya.

Berikutan itu, Isham akan terus mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa dengan pihak pengurusan kompleks atau pemilik premis perniagaan demi membela nasib peniaga kecil yang menyewa.

“Setiap hari, saya ada di sini (Shah Alam).

“Jadi, bila-bila masa sahaja, boleh datang jumpa saya. Boleh mesej saya untuk maklumkan bila nak jumpa,”katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button