Isham Jalil tekad bantu keluarga miskin bandar

 

ISHAM JALIL melihat tapak untuk rawatan dialisis Mohamad Khairat Al-Satir di Flat PKNS Seksyen 16, Shah Alam hari ini.

 



Oleh Rohana Man

ISHAM JALIL melihat tapak untuk rawatan dialisis Mohamad Khairat Al-Satir di Flat PKNS Seksyen 16, Shah Alam hari ini.

 

SHAH ALAM – Membantu golongan miskin bandar daripada kelompok B40 menjadi antara keutamaan calon Barisan Nasional (BN) P108 Parlimen Shah Alam, Hizatul Isham Abdul Jalil sekiranya memenangi kerusi Parlimen tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.



Beliau yang ditemui MyTV Online selepas program Ziarah Kasih di perumahan Flat PKNS Seksyen 16, berkata, beliau akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk miskin bandar yang memerlukan.

Katanya, pengalaman beliau dalam Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia) sebagai Pengerusi (2015-2020) akan digunakan sepenuhnya untuk menangani masalah kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

“Shah Alam terbahagi kepada dua kelompok penduduk. Ada orang-orang kaya, berpangkat tinggi dan profesional yang tergolong dalam kelompok M40 dan T20.

“Satu lagi terdiri daripada kelompok B40 yang miskin bandar.



“Memandangkan Shah Alam merupakan sebuah bandar raya, maka kos hidup yang mahal di bandar menyukarkan lagi kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas program Ziarah Kasih hari ini, Isham Jalil berkata, beliau lebih suka dapat masuk sendiri ke kawasan perumahan B40 bagi mengambil data untuk rekod agar bantuan boleh disegerakan sebaik sahaja memenangi PRU15.

Dalam program Ziarah Kasih hari ini, riak wajah beliau jelas menunjukkan keprihatinan dan sikap ambil berat terhadap nasib penduduk yang terkesan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kos sara hidup yang mahal amat membebankan keluarga B40, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang ada ahli keluarga sakit dan memerlukan rawatan ulangan.



“Sayu hati dengar rintihan mereka. Saya akan ambil tindakan segera bagi membantu mereka. Jadi, berilah saya peluang,” tambahnya.

Dalam program Ziarah Kasih di Flat PKNS Seksyen 16 hari ini, beliau sempat singgah bertanya khabar di 10 buah rumah.

Antara rumah yang diziarahinya adalah rumah No. 4A, Blok 1 yang dihuni seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit buah pinggang kronik.

Kanak-kanak itu, Mohamad Khairat Al-Satir,9, menginap penyakit itu sejak setahun lalu dan memerlukan dialisis tiga kali seminggu di Hospital Selayang.



Neneknya, Aishah Ali, 72, berkata, tahun lalu, tambang naik Grab ke hospital adalah RM50 sehala dan tahun ini, tambang meningkat kepada RM70.

“Mohamad kena buat dialisis sebanyak tiga kali dalam seminggu. Jadi, tambang pergi balik mencecah RM420 seminggu. Memang kami tak mampu nak bayar setiap bulan yang mencecah RM1,680,” katanya sambil memberitahu rumah yang didiami sekarang dihuni bersama anak perempuannya yang bekerja biasa dan tiga cucunya.

“Yang sakit ini, cucu saya yang bongsu. Bapanya hilang entah ke mana tanpa memberi nafkah kepada anak-anak,” katanya.

Selain itu, Isham Jalil turut singgah di beberapa rumah lain untuk bertanya khabar warga emas yang sakit di Blok 3 perumahan yang sama.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button