Manifesto GTA tersilap, memalukan



TAJUK berita Astro Awani semalam mengenai manifesto GTA yang berjanji akan melantik sembilan jawatan penting kerajaan jika menang PRU15.

Oleh Rohana Man

 

SHAH ALAM – Pelik bin Ajaib. Mungkin itu yang terlintas di fikiran kita tatkala membaca berita yang disiarkan Astro Awani semalam.

Bukan setakat pelik tetapi sungguh mengejutkan apabila seorang pemimpin berpengalaman berpuluh tahun dalam politik tanah air dan pernah menjadi Perdana Menteri (PM) sebanyak dua kali melakukan kesilapan besar seperti ini.



Adakah faktor usia (genap 97 tahun pada 10 Julai 2022), nyanyuk atau pelupa menyebabkan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak perasan ada sesuatu yang tidak kena dalam manifesto GTA yang diumumkan pada 10 November lalu.

Lebih menghairankan apabila tidak ada pemimpin atau ahli parti politik dalam gabungan GTA iaitu Pejuang, Putra, Berjasa, Iman dan Gagasan Bangsa menyedari kesilapan itu dalam kadar segera.

Hanya selepas dua hari menghiasi laman-laman media sosial, barulah Mahathir menyedari kesilapan tersebut.

Itupun dimaklumkan pihak lain tanpa diri sendiri menyedarinya.



Mahathir hanya menyedari kesilapan tersebut selepas menerima kritikan daripada bekas hakim kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang berkata, sebarang langkah meletakkan badan kehakiman dan pelantikan Ketua Hakim Negara di bawah cabang perundangan (Parlimen) adalah berbahaya kerana menjejaskan doktrin pengasingan kuasa.

Nampak sangat GTA tergesa-gesa mencipta manifesto sehingga terlepas pandang perkara yang memalukan ini.

Biasanya, sebelum manifesto diumumkan dan disebarkan kepada rakyat jelata, proses menyemaknya dilakukan dengan teliti agar tidak tersilap dalam menyusun ayat.

Berhari-hari memikirkan apa yang nak kelentong kepada rakyat maka inilah hasilnya.



Ia sekali gus membenarkan semua fitnah terhadap Mahathir yang terbukti campur tangan dalam pelantikan individu terpilih bagi mengisi jawatan tersebut.

Lihat apa yang GTA umumkan semalam.

Antara tawaran GTA yang dijanjikan dalam manifesto PRU15 adalah janji untuk meletakkan sembilan pegawai tertinggi kerajaan di bawah bidang kuasa Parlimen, jika menang pada 19 November ini.

Manifesto GTA jelas menyatakan pegawai tertinggi kerajaan yang akan dilantik adalah peguam negara, ketua polis negara, ketua hakim negara, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), panglima angkatan tentera, ketua setiausaha negara, ketua setiausaha perbendaharaan, ketua audit negara dan gabenor Bank Negara.



Manifesto PRU15 yang digubal GTA itu membuktikan campur tangan Mahathir sepanjang menjadi PM selama 24 tahun (1981-2003 dan 2018-2020) dalam pelantikan jawatan-jawatan tersebut benar-benar berlaku.

Bezanya, sebelum ini tidak ada pengumuman rasmi, hanya penafian yang dibuat dari setahun ke setahun.

Bagi meredakan keadaan yang sebenarnya sudah terlewat, semalam GTA tampil memohon maaf atas kesilapan dalam manifesto yang dilancar pada Khamis lalu, berhubung ikrar pelantikan Ketua Hakim Negara di bawah Parlimen.

Ketua Publisiti GTA, Mohd Nizam Mahshar, berkata, ikrar itu telah dikeluarkan daripada manifesto yang akan diterbitkan sepenuhnya tidak lama lagi.

Katanya, GTA kesal atas kekeliruan berhubung ikrar itu yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan anggota badan kehakiman.

Namun bak kata pepatah Melayu, Terlajak Perahu Boleh Diundur, Terlajak Kata Buruk Padahnya’.

Ternyata manifesto GTA itu bukan sahaja membawa kesan buruk kepada rakyat, malah menunjukkan betapa pemimpin GTA kemaruk kuasa dan mahu setiap individu yang dilantik memegang jawatan tersebut mendengar kata dan mengikut sahaja apa yang disuruh Mahathir, bagaikan lembu dicucuk hidung yang bermaksud menurut kemahuan orang lain tanpa mempersoalkannya.

Masih belum terlambat untuk rakyat seluruh negara yang layak mengundi menolak semua calon GTA yang bertanding dalam PRU15.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker