Pelan tiga bulan Isham Jalil sekiranya dapat mandat



MASALAH banjir kilat yang kerap melanda Shah Alam akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan sekiranya Isham Jalil mendapat mandat menjadi Ahli Parlimen Shah Alam.

Oleh Rohana Man

 

SHAH ALAM – Sekiranya diberi mandat untuk menjadi Ahli Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, calon Barisan Nasional (BN), Isham Jalil akan menyelesaikan masalah penduduk yang asas terlebih dahulu.

Menurutnya, pelan atau rancangan yang sudah diatur untuk dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan selepas menyandang jawatan itu adalah menyelesaikan masalah banjir kilat, longkang tersumbat, jalan raya berlubang serta membantu anak muda mendapat permit berniaga.



“Saya sudah berkempen selama 11 hari. Setiap hari, saya mengadakan sesi walkabout sebanyak 30 hingga 40 tempat, saya singgah untuk mendengar sendiri hajat penduduk.

“Saya tanya sendiri apakah hajat (wishlist) mereka.

“Mereka mahu saya selesaikan segera masalah banjir, longkang tersumbat, permit berniaga dan jalan raya berlubang.

“Insya-Allah, ini boleh diselesaikan dalam tempoh tiga bulan,” katanya menjawab soalan Yana Najib yang hadir pada sesi dialog bersama barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam tadi.



Isham juga berkata, penduduk Shah Alam semakin berkembang termasuk yang bermastautin di bandar raya itu, tetapi kerja tidak ada.

Menurutnya, anak muda pula, ramai yang minat berniaga tetapi sukar dapat permit.

“Saya pergi pasar malam, anak muda mengadu mahu meniaga. Minta permit, tak dapat.

“Berniaga juga, dapatlah untung RM300 hingga RM400 tapi kena saman RM300, macam mana nak berniaga?,”soalnya.



Beliau berkata, kira-kira 700,000 penduduk seluruh negara tidak mempunyai pekerjaan sekarang dan jumlah itu meningkat selepas Covid-19 melanda negara pada 2020.

“Dulu sebelum Covid, jumlah menganggur sekitar 300,000 orang. Lepas Covid, meningkat kepada 700,000. Ekonomi tak berkembang sebab pandemik.

“Nak berniaga pun susah, banjir pula kerap berlaku. Bekalan air asyik terputus. Jika saya menang, keesokan harinya, saya akan cuci longkang. Kenapa?

“Sebab banjir berpunca daripada longkang tersumbat. Bila hujan, air bertakung tak dapat disalirkan,” katanya sambil memberitahu banjir di Padang Jawa dan Kebun Bunga berpunca daripada parit tersumbat.



Selain itu, katanya, pam yang sepatutnya mengalirkan lebihan air ke kolam takungan juga tidak berfungsi.

“Ini jadi masalah dan saya akan segera selesaikannya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Isham berkata, pelan bulan kedua pula,
beliau akan menjelajah ke pasar-pasar malam untuk meninjau dan membantu anak muda yang sukar memperoleh permit perniagaan.

“Dalam bulan kedua, saya nak pergi balik ke pasar malam. Saya nak bantu anak muda dapat permit berniaga,” tambahnya.

“Tak guna cakap benda-benda besar, tapi masalah asas tak selesai,” ujarnya lagi.

Pelan berikutnya, Isham berkata, dalam tempoh enam bulan sehingga setahun, beliau akan fokus kepada penyelesaian masalah perumahan.

Menurutnya, masalah tersebut sudah lama berlaku, malah enam tahun lalu, beliau pernah menulis artikel mengenai harga rumah yang terlalu tinggi mencecah RM600,000 hingga RM800,000.

“Kena ada gaji RM11,000 sebulan jika mahu beli rumah harga RM600,000. Kalau nak beli apartment harga RM400,000, gaji kena RM8,000 sebulan.

“Ramai tak mampu terutama anak muda,” ujarnya.

Isham menegaskan, antara faktor harga rumah melambung tinggi di Shah Alam adalah kerana kerajaan Selangor Pakatan Harapan (PH) menaikkan cukai dengan kutipan tahunan mencecah RM3 bilion.

“Apabila segala jenis cukai naik, maka pemaju terpaksa menaikkan harga rumah,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker