Saya sanggup botakkan kepala – Ayah Rani Kulup

PORT DICKSON: Calon Bebas Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah sanggup membotakkan kepala sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau akan mengikut disiplin wakil rakyat di Dewan Rakyat baik dari segi pakaian dan juga rambutnya yang panjang.

“Parlimen ada tatacara pemakaian dan ayah (saya) akan ikut peraturan itu. Rambut panjang akan saya ikat, malah sanggup buat majlis cukur rambut.



“Boleh buat (cukur rambut) kalau dah menang tiada masalah. Datanglah ramai-ramai di Pantai Port Dickson,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan dengan bekas tentera di Bandar Springhill di sini, malam tadi.

Ditanya adakah dia tidak menyesal mencukur rambut jika diisytihar menang pada PRU15, Abdul Rani berkata rambut boleh tumbuh, tetapi beliau sayangkan rakyat lebih daripada itu.

“Mereka yang naikkan ayah di Parlimen, ayah akan ikut cakap mereka.

Tiada masalah potong atau cukur rambut, itu niat saja bukanlah bernazar,” katanya.



Abdul Rani berkata, dia juga yakin dengan sokongan setiap kali tinjauan mesra bagi meraih undi di 31 kawasan yang sudah dijelajahi sepanjang berkempen.

“Inilah program pertama bercakap atau berjumpa dengan kumpulan veteran tentera, ayah ucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir.

“Mudah berkempen kerana orang dah kenal Rani Kulup, di mana saja ayah pergi, ramai yang sudah kenal, barang baik, orang kenal lah,” katanya.

Abdul Rani berdepan saingan daripada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Calon Barisan Nasional (BN), P Kalamanathan, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Cikgu Rafiei Mustapha (PN) dan calon PEJUANG yang juga pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button