Kerajaan PH tekad roboh Stadium Shah Alam

STADIUM Shah Alam akan dirobohkan jika PH menang kerusi Parlimen Shah Alam pada PRU15 ini.

Oleh Rohana Man

 



SHAH ALAM – Stadium Shah Alam akan menjadi sejarah jika calon Pakatan Harapan (PH) menang kerusi Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Ini kerana kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH sekarang mahu stadium berusia 28 tahun itu diruntuhkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan perumahan bertingkat.

Calon Barisan Nasional (BN) P108 Parlimen Shah Alam, Isham Jalil, berkata, beliau kerap menerima pertanyaan daripada warga bandar raya Shah Alam mengenai nasib stadium yang terletak di Seksyen 13 itu.

Menurutnya, kebanyakan mereka bertanya kenapa stadium yang menjadi kebanggaan penduduk Shah Alam itu tidak lagi meriah dan kelihatan semakin usang.



“Ada yang tanya kenapa tak diperbaharui. Tidak adakah usaha dilakukan bagi membaik pulihnya,” katanya ketika menjawab soalan peserta sesi dialog bersama pemimpin pelajar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam tadi.

Stadium Shah Alam yang dibuka secara rasmi pada 1994 dimiliki Kerajaan Negeri Selangor. Dengan kapasiti 80,372 penonton, kegunaan utama stadium itu adalah untuk perlawanan bola sepak, selain turut menyediakan kelengkapan sukan olahraga.

Banyak perlawanan bertaraf lokal dan antarabangsa telah berlangsung di stadium itu, antaranya menjadi tuan rumah bagi FA Selangor dan Kejohanan Bola Sepak Jemputan Antarabangsa Mitsubishi.

Reka bentuk stadium yang unik dilihat dari udara menjadikannya antara bangunan ikonik di Shah Alam.



Pada Oktober lalu, seorang penduduk Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’Adzam Shah Ya’akob memfailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membina stadium berskala lebih kecil serta memajukan tanah sekitarnya.

Mengulas lanjut, Isham berkata, apabila parti pembangkang ketika itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kemudian Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri Selangor sejak tahun 2008 sehingga kini, tidak ada kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan terhadap stadium berkenaan.

“Ini isu besar. Mereka (PH) nak roboh. Tahu kan, dulu BN yang bina.

“Saya bukan nak politikkan isu ini, tapi ini fakta. Kita tengok garis masa (timeline), stadium ini tidak diselenggara sejak tahun 2008. Bila tak diselenggara, stadium jadi uzur.



“Jadi, mereka nak roboh dan bina stadium berskala lebih kecil.

“Sebab apa nak buat yang lebih kecil? Sebab nak guna tanah di sekeliling stadium untuk bina kondominium, nak buat projek pembangunan mewah. Ini lebih menguntungkan,” katanya.

Beliau menambah: “Tu…,bila dah siap, tak tahu berapa harga nak letak. Tentu mahal sebab kawasan keliling stadium, mahal sewanya.”

Menurutnya, kerajaan PH sekarang lebih memihak kepada pemaju kerana banyak keuntungan dapat diraih daripada pembinaan projek mewah tersebut.



“Dia (kerajaan negeri) pro developer, bukan pro rakyat. Sepatutnya target kerajaan adalah kebajikan rakyat, bukan keuntungan semata-mata,” tambahnya kesal.

Sehubungan itu, Isham mengajak pengundi Shah Alam memberi undi kepadanya pada hari pembuangan undi, 19 November ini.

Ini kerana jika kerajaan PH kekal memerintah, warga Shah Alam akan berputih mata melihat stadium kebanggaan dan kesayangan mereka dirobohkan dan menjadi sejarah.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button