8 rumah rosak dibadai ribut

JASIN: Sekurang-kurangnya lapan kediaman di Kampung Serkam Darat, di sini, mengalami kerosakan pada dinding dan bumbung selepas dibadai ribut, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi menyebabkan kira-kira 30 penghuni terjejas, namun tiada mangsa tercedera dilaporkan.

Selain beberapa bumbung diterbangkan angin, ada juga kediaman penduduk yang rosak akibat dihempap pokok tumbang.



Penduduk, Mohd Radzi Hamzah, 37, berkata kejadian itu pertama kali berlaku sejak hampir 40 tahun lalu.

Menceritakan kejadian itu, katanya dia bersama isteri dan anak terjaga dari tidur selepas dikejutkan dentuman kuat dari arah dapur di belakang rumah.

“Sebaik memeriksa, saya terkejut mendapati sebahagian bumbung dapur ranap dihempap pokok rambutan yang tumbang.

“Namun, saya bersyukur semua ahli keluarga selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui.



Seorang lagi penduduk, Mohd Syukri Abdullah, 38, berkata, bumbung tandas dan dapur rumahnya juga diterbangkan angin dalam kejadian itu yang disedari ketika bersiap untuk keluar bekerja jam 5 pagi tadi.

“Saya hanya sedar bumbung bilik air ‘hilang’ ketika hendak mandi kira-kira jam 5 pagi, namun mujur hanya saya seorang berada di rumah ketika itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti, (JPKK) Kampung Serkam Darat, Hairul Amin Madon, berkata pihaknya mengambil beberapa langkah keselamatan membantu penduduk terjejas termasuk mendapatkan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi membersihkan pokok tumbang.

“Saya juga memaklumkan kejadian berlaku kepada pihak Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam.



“Ia bagi memudahkan mereka menguruskan bantuan sewajarnya selepas menerima laporan polis daripada mangsa bencana ini,” katanya.

Sementara itu, kejadian ribut itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang kemudian turun meninjau kediaman penduduk terjejas.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau memaklumkan pihaknya sudah memanggil kontraktor untuk membaiki bumbung rumah mangsa yang terkesan akibat ribut.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button