Nasib berbeza Richarlison, Neymar

DOHA: Ketika Neymar bergelut untuk mencari ruang, Richarlison hadir sebagai wira The Selecao.

Penyerang Tottenham Hotspur itu meledak dua gol bagi membantu Brazil menewaskan Serbia 2-0 pada aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Lusail, awal pagi tadi.

Gol pertama hadir pada minit ke-62 selepas hantaran Neymar menemui Vinicius Junior, namun percubaannya ditampan Vanja Milinkovic-Savic sebelum Richarlison membuat tindakan susulan untuk gol Piala Dunia pertamanya.



Dia kemudiannya menggamatkan stadium apabila menyempurnakan hantaran Vinicius dengan jaringan akrobatik untuk memastikan kemenangan buat juara dunia lima kali itu pada minit ke-73.

“Impian kanak-kanak saya kini menjadi kenyataan. Kami sedar ia tidak mudah untuk mengatasi mereka. Saya sudah biasa bermain menentang pasukan yang bertahan seperti ini di England.

“Saya hanya mahu memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki untuk membantu pasukan dan saya berjaya melakukannya,” kata Richarlison yang membuat penampilan pertamanya di Piala Dunia.

Sementara itu, Brazil terpaksa membayar dengan harga tinggi di sebalik kemenangan dalam perlawanan pertama itu selepas Neymar dilaporkan mengalami kecederaan buku lali.



Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu dilihat meletakkan ais pada buku lalinya dan menangis di bangku simpanan selepas digantikan pada minit ke-79.

Dia juga dilihat berjalan ke bilik persalinan dengan tempang dan pergelangan kaki yang bengkak.

Doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar enggan membuat spekulasi berhubung kecederaan Neymar itu, sebaliknya berkata akan melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengetahui tahap kecederaan pemain berkenaan.

“Kita lihat bagaimana reaksi Neymar nanti. Kami sudah mula melakukan rawatan tetapi kami perlu berhati-hati dan bersabar.



“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenainya, kita akan lihat perkembangannya nanti,” kata Lasmar.

AP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button