Ochoa bersemangat lawan ‘magis’ Messi



LONDON: Penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa berkata dia berasa sangat bermotivasi menjelang aksi Piala Dunia awal pagi Ahad ini menentang Argentina, ketika dia akan melawan “magis” Lionel Messi.

Ochoa, yang bermain pada Piala Dunia kelimanya, adalah wira Mexico pada Selasa lalu apabila dia menyelamatkan penalti penyerang Poland, Robert Lewandowski seterusnya memberikan keputusan seri buat pasukannya dalam aksi pembukaan Kumpulan C di Qatar.

Pasukannya masih boleh mencipta keputusan baik dan menyingkiran pasukan pilihan, Argentina jika mereka mengambil tiga mata berikutan wakil Amerika Selatan itu mengalami kekalahan mengejut 2-1 di tangan Arab Saudi.

“Kami sedia untuk bersaing dan beraksi baik. Messi ada magis itu, daripada dia tidak berbuat apa-apa, seminit kemudian dia boleh menyelesaikan masalah serta menjaringkan gol,” kata Ochoa, 37, kepada wartawan.



“Ia akan menjadi cabaran yang bagus. Ia akan menjadi sangat rumit, tetapi apa lagi yang lebih baik berbanding di Piala Dunia menentang seorang daripada pemain terbaik dunia dan dalam sejarah, Messi.”

Kapten Mexico itu menambah bahawa Piala Dunia adalah pentas terbaik untuk menguji dirinya berdepan pemain terbaik dunia.

“Saya tidak suka perkara seperti, ‘hey, saya tidak suka bermain menentang itu kerana ia terlalu sukar’. Sebaliknya, saya mahu menentang mereka di Piala Dunia. Saya mahu beraksi dalam perlawanan yang bagus dan menewaskan mereka,” kata Ochoa.

Mexico akan berdepan pendahulu kumpulan, Arab Saudi pada Rabu.



REUTERS



Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker