Ronaldo masih boleh beraksi di kelab besar

DOHA: Bernardo Silva percaya Cristiano Ronaldo masih boleh beraksi dengan kelab ternama jika dia memutuskan sedemikian selepas Piala Dunia.

Penyerang Portugal itu menyempurnakan satu sepakan penalti ketika negaranya menang 3-2 ke atas Ghana pada aksi pertama mereka di Qatar, dua hari selepas meninggalkan Manchester United menerusi persetujuan bersama.

Ditanya jika Ronaldo masih mampu beraksi bersama pasukan elit, Silva berkata pemain berusia 37 tahun itu boleh tetapi perlu membuat keputusan bersama keluarganya.



“Saya fikir boleh, saya fikir boleh, (tapi) ia bergantung kepada apa yang dimahukannya dalam kehidupan, dia perlu berbincang dengan keluarganya dan memutuskan untuk diri sendiri,” kata Silva kepada wartawan selepas perlawanan itu.

“Ia keputusannya, keputusan kelab yang mahu menawarkannya kontrak kerana kini dia tidak mempunyai pasukan. Kita akan tunggu apa yang berlaku, ia urusannya, bukan saya.

“Saya menyokong apa pun keputusannya, dia rakan sepasukan Portugal, jika dia gembira, saya pun gembira.”

Penyerang Portugal, Joao Felix berkata, menjadi impian buatnya beraksi dengan bekas penyerang Real Madrid dan Sporting Lisbon itu.



“Ia satu impian, sejak saya kecil, kami sering melihatnya beraksi,” kata Felix, yang turut menyumbang gol pada aksi menentang Ghana.

“Kami sering kali mengimpikan untuk beraksi dengannya, jadi mewakili pasukan kebangsaan bersamanya, ia satu impian yang menjadi kenyataan.”

Pemain Manchester United, Bruno Fernandes turut bersetuju dengan pendapat Felix dan berkata, dia bangga masih berpeluang beraksi di samping Ronaldo dalam pasukan Portugal.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button