Portugal atasi Ghana, Ronaldo pecah rekod

DOHA: Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mencatat sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia ketika kemenangan 3-2 ke atas Ghana.

Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti minit di babak kedua untuk melonjak pasukannya ke tangga teratas Kumpulan H selepas aksi di Stadium 974 sebentar tadi.

Bagaimanapun, Ghanya terlalu liat untuk ditundukkan sepanjang babak pertama.



Kapten Portugal berusia 37 tahun itu mempunyai dua peluang dalam tempoh 15 minit pertama tetapi gagal disempurnakan.

Dia menjaringkan gol pada minit ke-31 tetapi dibatalkan pengadil kerana Ronaldo terlebih dahulu dikesan mengasari pertahanan Ghana.

Ghana berpeluang memecah kebuntuan di babak kedua menerusi serangan balas pantas, namun percubaan Mohammed Kudus pada minit ke-55 sedikit tersasar.

Ronaldo akhirnya memecah kebuntuan selepas berjaya mendapatkan sepakan penalti dan menyempurnakannya sendiri untuk meletakkan Portugal di depan pada minit ke-65.



Gol berkenaan turut menjadikannya pemain pertama dalam sejarah menjaringkan gol dalam lima edisi berbeza Piala Dunia.

Ghana bagaimanapun tidak menunggu lama untuk kembali menyamakan kedudukan apabila Andre Ayew menolak masuk hantaran Kudus pada minit ke-73.

Kegembiraan Ghana tidak bertahan lama, selepas Otto Addo mengeluarkan dua pemainnya yang bergabung menjaringkan gol, Portugal menambah jaringan menerusi Joao Felix pada minit ke-78.

Pemain gantian Portugal, Rafael Leao tidak menunggu lama sebaik dimasukkan apabila meledak gol ketiga pasukannya selepas mendapat lorongan Ronaldo pada minit ke-80.



Ghana terus menggandakan asakan dan berjaya merapatkan jurang menerusi tandukan Osman Bukari ketika permainan berbaki seminit.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button