Penunggang, pembonceng maut motosikal tembung kereta



JEMPOL: Dua mangsa membabitkan penunggang dan pembonceng sebuah motosikal, terkorban apabila kenderaan itu bertembung sebuah kereta di jalan besar Palong 7 dan 8 – Palong 4,5 dan 6, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 malam itu, penunggang motosikal jenis Yamaha RX-Z hanya dikenali sebagai Sariffudin, 35, dari FELDA Palong 8 bersama pembonceng dikenali sebagai Azamatul Alia, 28, dari FELDA Palong 7, disahkan maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala serta badan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata hasil siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah FELDA Palong 7 dan 8 menghala ke FELDA Palong 4, 5 dan 6.

“Setiba di lokasi, sebuah kereta jenis Proton Saga dikatakan memotong sebuah kenderaan di hadapannya tetapi pada masa sama, motosikal ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan sebelum kedua-duanya bertembung.



“Perlanggaran itu turut menyebabkan pemandu Proton Saga berusia 26 tahun yang berasal dari Jerteh, Terengganu, mengalami luka di bahagian tangan kanan. Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan ialah pemandu kereta terbabit dipercayai cuai memotong kenderaan lain.

“Ujian air kencing telah dijalankan ke atas pemandu kereta itu dan keputusan adalah negatif,” katanya di sini, hari ini.

Chang Hook berkata, jalan raya di lokasi kejadian mempunyai garisan putih berkembar, manakala keadaan ketika insiden adalah gelap dengan permukaan jalan kering dan berturap tar serta sedikit berbukit.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker