PRU15 DUN Tioman: Calon PH sedia beri laluan kepada BN

ROMPIN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Mohd Fadzli Mohd Ramly, sedia memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika diarah pucuk pimpinan tertinggi parti.

Mohd Fadzli berkata, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat Majlis Presiden PH dengan mengambil kira situasi politik semasa di peringkat Pusat dan DUN Pahang, namun setakat ini belum ada sebarang kata putus dibuat.

“Mungkin selepas ini ada perbincangan lanjut tentang perundingan kerusi antara (Parlimen) Padang Serai dan DUN Tioman ini, kerana kita lihat Padang Serai ini satu kerusi yang penting untuk kita menambah bilangan di peringkat Parlimen…DUN Tioman juga tidak kurang pentingnya.



“Setakat hari ini saya tidak dimaklumkan apa-apa secara bertulis atau secara arahan khususnya daripada Majlis Presiden PH terhadap kedudukan kita di sini. Jadi kita akan berkempen seperti biasa,” katanya.

Mohd Fadzli berkata demikian ketika ditanya mengenai ketidakhadiran beliau pada hari penamaan calon DUN Tioman di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis lalu, sebaliknya sekadar menghantar wakil bagi mencabut undi untuk menentukan kedudukan pada kertas undi.

Ketiadaan Mohd Fadzli menimbulkan spekulasi kerana PH Pahang memberi sokongan kepada BN negeri untuk membentuk kerajaan negeri yang kini tergantung selepas keputusan PRU15, menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 16 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 dan lapan kerusi dimenangi PH.



Walaupun sedia memberi laluan, Mohd Fadzli berkata beliau mahukan jaminan daripada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, untuk menyelesaikan masalah dihadapi penduduk DUN Tioman terutamanya masalah air, tanah dan infrastruktur di situ jika menang.

Mohd Fadzli bagaimanapun mengakui masih belum bertemu Mohd Johari, yang juga penyandang kerusi DUN itu untuk berbincang berhubung perkara itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRU15 bagi DUN Tioman yang ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lalu, diadakan pada 7 Disember ini,

Selain Mohd Fadzli dan Mohd Johari, turut bersaing pada pilihan raya itu ialah calon PN, Nor Idayu Hashim, Osman A Bakar (PEJUANG) dan Sulaiman Bakar (Bebas).



Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button