Pandu Kelisa jelajah dunia



Kuala Lumpur: Pengembara tersohor, Nursulhi Rahim, 45, yang hanya menjadikan Perodua Kelisa sebagai kenderaan untuk menjelajah 23 negara dalam tempoh empat bulan perlu membiarkan enjin keretanya hidup selama empat hari bagi mengelak mati kesejukan.

“Semasa di Norway, suhu di negara itu terlalu sejuk mencecah -35 darjah Celsius. Saya tidak mematikan enjin kereta selama empat hari bagi mengelakkan saya dan anak sulung, Muhammad Aidil berusia 17 tahun tidak mati kesejukan,” katanya.

Untuk rekod, Nursulhi mengembara dengan menaiki Perodua Kelisa berdua saja dengan Muhammad Aidil.

Kata Nursulhi, bukan itu saja, malah mereka turut memasak di dalam Perodua Kelisa berusia 18 tahun itu untuk menjimatkan kos.



“Sepanjang pengembaraan, kami memasak di dalam kereta menggunakan dapur mudah alih kerana mahu berjimat dan bimbang status makanan halal.

“Saya membawa beras, makanan segera serta makanan kering sebagai bekalan pengembaraan,” katanya.

Nursulhi yang bekerja sebagai kontraktor berkata, antara pengalaman sukar dilupakan ialah Perodua Kelisa itu terbabas ke lorong air batu kerana permukaan jalan licin di Sweden.

“Disebabkan itu, kami tersadai di dalam hutan dan terpaksa tidur dalam kereta selama 12 jam dengan enjin dihidupkan sehingga pasukan bantuan tiba.



“Dugaan di Sweden berganda kerana kotak gear rosak dan perjalanan kembara terhenti hampir seminggu sehinggalah komponen penting yang ditempah dari Malaysia tiba.

“Selain itu, kami juga berhadapan dengan insiden ribut salji berbahaya di Switzerland yang menyebabkan kami terkandas di dalam kereta selama enam jam sebelum diselamatkan,” katanya.

Katanya, dia pernah dikatakan gila dan bodoh kerana mahu mengelilingi dunia memandu Perodua Kelisa.

Katanya, ada yang beranggapan Perodua Kelisa itu tidak sesuai digunakan untuk mengembara ke negara yang bersuhu sejuk ekstrem dan bersalji.



Namun, Nursulhi tidak mempedulikan kata-kata itu sebaliknya membuktikan tindakannya adalah tepat apabila berjaya memandu Perodua Kelisa berkenaan untuk menjelajah 23 negara berkaitan.

Nursulhi berkata, penjelajahan bermula pada 4 November 2019 hingga 18 Mac 2020 lalu.

“Pengembaraan ini menggunakan laluan darat dari Malaysia merentasi Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turkiye, Bulgaria, Romania, Hungary, Slovenia, Austria, Jerman, Belanda, Denmark, Sweden, Norway, Belgium, Perancis, Switzerland, Itali, Greece dan kembali ke Turkiye.

“Ia membabitkan perjalanan sejauh kira-kira 40,000 kilometer (km),” katanya yang menetap di Tampin, Negeri Sembilan.



Katanya, dia membelanjakan RM100,000 untuk menyempurnakan misi pengembaraan selama empat bulan itu.

“Saya tidak menyesal menghabiskan sejumlah besar wang simpanan untuk tujuan ini, memandangkan pengalaman diperoleh sepanjang penjelajahan itu lebih berharga.

“Boleh dikatakan perancangan pengembaraan ini dibuat secara ad hoc iaitu kira-kira seminggu dan kajian mengenai negara yang hendak direntas juga tidak mendalam.

“Namun, saya mengambil pendekatan bertawakal dan dibantu dengan aplikasi Google Maps dan Maps Meet Mitch untuk pandu arah sepanjang pengembaraan,” katanya.

Menurutnya, penjelajahan itu penuh dengan warna- warni dan agak mencabar kerana berhadapan dengan beberapa situasi tidak dijangka yang boleh membahayakan nyawa.

Kata Nursulhi, dia turut kerap mengalami kekurangan data Internet kerana sentiasa membuat siaran langsung di Facebook sepanjang penjelajahan itu.

“Tujuannya untuk berkongsi pengalaman pengembaraan dan pemandangan menarik di setiap negara yang dilalui,” katanya.

Nursulhi berkata, kembara siri keduanya ialah pada 15 September hingga 18 November lalu ke Turkiye kerana keretanya ditinggalkan di negara berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Jelasnya, dia membawa Muhammad Aidil mengembara bersama kerana mahu memberi pendedahan negara luar kepadanya.

“Saya harap kembara ini dapat membuka mindanya dan mahu memberitahunya bahawa kekurangan dalam akademik bukan bermakna gagal dalam kehidupan,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker