PM jawat Menteri Kewangan langkah terkebelakang – Radzi



KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Kewangan dianggap satu langkah ‘kurang maju’ dalam tata kelola sesebuah negara.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Radzi Jidin, berkata langkah itu juga dilihat tidak selari dengan manifesto termasuk slogan reformasi seperti diperjuangkan PKR yang dinaungi Anwar sebagai presidennya.

Beliau juga menyuarakan kegusaran dengan tindakan seperti itu, kerana memperlihatkan tidak ada peranan semak dan imbang dalam kerajaan.

“Pada 16 September 2015, Timbalan Presiden PKR, saudara Rafizi (Ramli) menulis di Facebook bahawa beliau sudah memfailkan satu rang undang-undang (RUU) persendirian untuk menggubal satu akta yang menghalang seorang Perdana Menteri daripada melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan.



“Selain itu di bawah janji 12 dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya Menteri Kewangan.

“Apabila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan, maka tiada lagi fungsi semak dan imbang. Tindakan Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan adalah satu tindakan yang amat terbelakang dalam sudut tadbir urus sebuah negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau semalam.

Mengulas lanjut, Radzi yang juga bekas Menteri Kanan Pendidikan berpendapat, perkara paling asas dalam sesebuah negara adalah mempunyai satu sistem tata kelola yang mantap dan kukuh.

Atas faktor itu, beliau menegaskan pendekatan itu bukan sahaja dapat melindungi bahkan memastikan wang kerajaan digunakan secara keseluruhan dengan cekap.



“Perdana Menteri terakhir yang menjadi Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Najib (Razak). Perdana Menteri selepas itu, Tun Dr Mahathir (Mohamad), Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) tidak memegang portfolio Menteri Kewangan.

“Bahkan ketiga-tiga Perdana Menteri ini tidak memegang sebarang portfolio menteri,” katanya.

Menurut Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya itu, beliau tahu, sedar atau tidak memang ada dalam kalangan pemimpin PH yang turut tidak bersetuju Perdana Menteri memegang portfolio Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, terdapat kenyataan yang pernah dibuat seorang anggota Majlis Presiden PH iaitu Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam satu ceramah, apabila tidak bersetuju Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan.



“Pemimpin PH sendiri dengan sedar tidak bersetuju pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan. Rakyat Malaysia yang memahami mengenai tadbir urus negara pun tentunya tidak bersetuju.

“Apa yang saya lihat pada masa ini, Perdana Menteri banyak bercakap mengenai perkara yang telalu kosmetik untuk menyedapkan telinga rakyat.

“Sebaliknya perkara prinsip dalam struktur pentadbiran yang telah elok dibentuk sebelum ini, bila mana Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan, diketepikan.

“Di mana reformasi yang sentiasa dilaungkan? Adakah reformasi hanya slogan bila jadi pembangkang?” katanya.



BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker