‘Bekalan telur habis sejak 4 hari lalu’

KUALA TERENGGANU: Bekalan telur ayam di negeri ini kembali kritikal selepas kali terakhir beberapa pemborong hanya memperoleh sumber protein itu pada Khamis lalu.

Tinjauan di tiga syarikat pemborong di sekitar bandar raya ini mendapati premis kosong menyebabkan pengguna terpaksa pulang kehampaan.

Pengurus sebuah syarikat pemborong telur di Cabang Tiga di sini, Nursyzanil Adha Ramli berkata, kali terakhir bekalan telur ayam diperolehnya sebanyak 3,000 papan mengandungi 90,000 biji pada empat hari lalu.



Katanya, syarikat pembekal mendakwa permintaan bekalan telur ayam tidak mencukupi untuk diedarkan kepada pemborong.

“Syarikat pembekal berjanji untuk menghantar bekalan sumber protein itu pada Rabu atau Khamis depan.

“Syarikat pembekal juga tidak boleh memberi jaminan jumlah keseluruhan sumber protein yang akan dihantar kepada kami,” katanya.

Tinjauan di dua lagi syarikat pemborong mendapati semua jenis sumber protein termasuk omega dan telur ayam biasa kehabisan sejak Rabu lalu.



Pengurus Syarikat Bigpoly Supplies, Fuan Chai Feng ketika dihubungi mengesahkan kali terakhir menerima bekalan sumber protein sebanyak 4,000 papan mengandungi 120,000 biji pada Selasa lalu.

Katanya, bekalan itu terus dihantar ke tiga premis cawangannya di Kuala Terengganu termasuk di Cabang Tiga dan di Gong Badak, untuk dijual secara runcit kepada pelanggan.

“Kita belum menerima maklumat penghantaran bekalan terbaru daripada syarikat pembekal,” katanya yang turut mengesahkan telur ayam jenis omega juga turut kehabisan di semua premisnya termasuk di Kota Baharu, Kelantan.

Sementara itu, tinjauan juga mendapati lebih 35 pengguna terutama suri rumah datang ke syarikat pemborong untuk mendapatkan bekalan telur ayam, tetapi hampa apabila sumber protein itu kehabisan.



Seorang pengguna, Halijah Awang, 48, dari Wakaf Mempelam, di sini, mendakwa kesukaran mendapatkan bekalan telur sejak Isnin lalu.

Katanya, bekalan telur ayam bukan saja sukar diperoleh di pasar raya dan kedai runcit, malah di syarikat pemborong.

“Kita terpaksa menjelajah ke tiga syarikat pemborong hari ini (semalam) untuk mendapatkan bekalan telur, tetapi hampa kerana sumber protein itu kehabisan.

“Keadaan ini menyebabkan kami sudah tidak tahu di mana mahu mencari bekalan telur,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button