Pemulihan nilai ringgit bantu kurangkan tekanan inflasi

KUALA LUMPUR: Pemulihan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir November lalu membantu mengurangkan tekanan inflasi khususnya harga makanan dan bahan berkaitan makanan, yang mana sebahagian besarnya diimport, demikian mengikut firma penyelidikan.

Penganalisis di TA Securities, Farid Burhanuddin, secara umumnya ringgit melantun semula untuk didagangkan di bawah paras RM4.60 berbanding dolar AS sejak 13 November lalu.

Katanya, ia susulan daripada sentimen yang bertambah baik setelah terdapat jangkaan kemungkinan pendekatan yang kurang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) dalam mencorakkan kadar faedah AS.



“Selain itu, nilai ringgit terus bertambah baik dengan pelantikan Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyaksikan mata wang tempatan itu ditutup di bawah paras RM4.50 sedolar ketika itu.

“Kami juga percaya bahawa trend penurunan harga komoditi global dan makanan di peringkat serantau boleh mengurangkan tekanan inflasi Malaysia.

“Oleh itu, inflasi utama akan meningkat pada kadar yang lebih sederhana pada suku keempat 2022 (4Q22), selepas ia memuncak sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun (YoY) pada suku ketiga (3Q22),” katanya dalam nota penyelidikan baru-baru ini.

Tambahnya, buat masa ini, pihaknya mengekalkan unjuran penanda aras inflasi, indeks harga pengguna (IHP) pada 3.1 peratus tahun ini.



“Menuju 2023, inflasi utama Malaysia dijangka kekal tinggi pada 3.0 peratus YoY, walaupun ia masih tertakluk kepada perubahan dasar dalam subsidi domestik dan harga komoditi global tahun hadapan.

“Tekanan harga yang ketara dan pengetatan dasar monetari mungkin akan mengurangkan perbelanjaan pengguna.

“Namun begitu, permintaan dalam negeri akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan tahun depan, disokong oleh pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan peningkatan dalam mata wang tempatan,” katanya.

Farid berkata, memandangkan inflasi teras telah mencapai kemuncak baharu pada 4.1 peratus YoY, pihaknya percaya bank pusat berkemungkinan akan menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bps) lagi pada mesyuarat Januari akan datang, yang dijadualkan pada 18 dan 19 Januari 2023.



“Satu lagi kenaikan kadar dijangka pada mesyuarat bulan Mac, sekali gus mendorong kadar dasar semalaman (OPR) untuk dinaikkan pada 3.25 peratus,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button