Thales didakwa berhubung jualan kapal selam kepada Malaysia

PARIS: Mahkamah Perancis mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002, menurut sumber yang rapat dengan siasatan terbabit semalam.

Kes yang mencetuskan polemik itu pada asalnya dibuka pada 2010 dan akhirnya memberi kesan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib adalah Menteri Pertahanan ketika perjanjian perolehan dua kapal selam kelas Scorpene dan sebuah Agosta dari unit limbungan tentera laut DCN Perancis (kini sebahagian daripada Thales) itu ditandatangani, membabitkan nilai kontrak AS$1.2 bilion (RM5,2 bilion).



Pembantu Najib, Abdul Razak Baginda, bertindak sebagai penasihat perjanjian pembelian itu dan beliau dituduh menyembunyikan kos tambahan 114 juta euro (RM529 juta) bagi kerja perunding oleh sebuah firma yang mana Abdul Razak adalah pemegang saham terbesar.

Wang berkenaan kemudian didakwa diberikan kepada Najib, yang berdepan siri pertuduhan sejak pemerintahannya ‘tumbang’ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Razak Baginda didakwa di perancis pada 2017 manakala Najib pernah disoal siasat berhubung isu sama di Malaysia.

Sumber berkata, kesemua sembilan defendan, termasuk Thales didakwa di Perancis dan penyiasatan berhubung kes terbabit ditutup pada Januari lalu.



Mereka termasuk bekas pengerusi limbungan tentera laut Perancis, unit antarabangsa DCN, Philippe Japiot dan bekas Ketua Eksekutif Thales, Jean-Paul Perrier, selain dua lagi bekas eksekutif.

Keempat-empat mereka menafikan sebarang salah laku dan Kerajaan Malaysia menyatakan bahawa kontrak berkenaan bebas daripada elemen rasuah.

Thales ketika dihubungi AFP berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.

Pendakwa dari pejabat jenayah kewangan Perancis, PNF kini perlu mempertimbangkan untuk menerima sebarang permohonan lanjut daripada hakim berkenaan, bagi menentukan sama ada kes terbabit dibicarakan atau sebaliknya, meskipun rayuan sudah difailkan pada Mei tahun lalu.



AFP


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading