Tiga lelaki dituduh guna dron seludup barang terlarang ke penjara

Machang: Tiga lelaki dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, pada 19 Disember lalu atas tuduhan menerbangkan dron untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan Penjara Machang.

Mereka yang berusia antara 35 hingga 39 itu didakwa mengikut Seksyen 58(1) Akta Penjara 1995; Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR) dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pada 20 Disember hanya seorang daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan mengaku bersalah mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957, manakala dua suspek lagi memohon rayuan.



Suspek mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun setiap satu pertuduhan serta satu sebatan dan hukuman berjalan serentak.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketiga-tiga suspek ditahan susulan menggunakan dron untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan Penjara Machang.

“Dalam kejadian 1.05 pagi, 12 Disember lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menerima maklumat satu unit dron kelihatan diterbangkan dan menceroboh kawasan penjara.

“Hasil tindakan segera dan siasatan bersama Penjara Machang mendapati teknologi peranti pengesan yang digunakan pengendali dron berjaya dikesan di kawasan berdekatan dengan penjara iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret.



“Polis berjaya menjejaki tiga lelaki yang tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Honda CRV dan memecut melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, bagaimanapun kesemua suspek berjaya ditahan di Jalan Utama Kuala Krai – Kota Bharu di Kampung Bukit Belah, Machang.

“Hasil pemeriksaan menemukan lima unit telefon bimbit, dua unit power bank, satu bilah parang, 20 biji mercun bola, satu bilah badik, satu gulung doubletape, satu bungkus cable ties, satu bilah sabit, satu unit alat penimbang digital dan dua gulung dawai besi.

“Selain itu, turut ditemui ialah satu gulung plastik pembalut, satu alat kawalan jauh dron model rc123, 13 bungkusan tembakau, tiga gulung tali nilon berwarna kekuningan dan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau,” katanya.



Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan atas kesalahan Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki turut menasihatkan dan mengingatkan orang ramai bahawa menerbangkan dron tanpa kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam adalah satu kesalahan.

“Ia satu kesalahan dan penggunaan peranti berkenaan untuk tujuan jenayah adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan dari segi undang-undang yang ada.

“Kami tidak akan berkompromi dengan perlanggaran perundangan ini dan tindakan tegas akan diambil sewajarnya,” katanya.



METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading