Kabel internet dasar laut ‘dipotong’

Oleh – Syeikh Baran


Kabel internet dasar laut ‘dipotong’
Gambar bertarikh 6 Oktober 2021 menunjukkan sebuah kapal kargo berbendera Mesir belayar di Laut Merah berhampiran Sudan. – AFP

Kerosakan kabel dasar laut di Laut Merah mengganggu rangkaian telekomunikasi serta memaksa syarikat pembekal untuk mengubah laluan satu perempat trafik internet di  Asia, Eropah dan Asia Barat.

Stesen penyiaran CNN melaporkan, kabel milik empat rangkaian telekomunikasi utama itu telah ‘dipotong’, menyebabkan gangguan ketara kepada rangkaian komunikasi di Asia Barat, demikian menurut syarikat telekomunikasi Hong Kong, HGC Global Communications.



“HGC menganggarkan bahawa 25 peratus trafik antara Benua Asia dan Eropah serta Asia Barat  terjejas,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Tambah syarikat itu,  pihaknya sedang mengubah laluan trafik untuk meminimumkan gangguan kepada pelanggan dan menghulurkan bantuan kepada perniagaan yang terjejas.

HGC bagaimanapun tidak menyatakan bagaimana kabel tersebut rosak atau pihak yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Seacom yang berpangkalan di Afrika Selatan dan memiliki salah satu sistem kabel yang terjejas memberitahu CNN, kerja membaiki kabel berkenaan hanya akan bermula sekurang  sebulan lagi.



Ia sebahagiannya disebabkan tempoh masa  diperlukan bagi mendapatkan permit untuk beroperasi di kawasan itu.

Kabel bawah laut adalah kuasa tidak boleh dilihat yang memacu internet, dengan kebanyakannya dibiayai oleh gergasi internet seperti Google, Microsoft, Amazon dan Meta sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Kerosakan pada rangkaian kabel  dasar laut boleh menyebabkan gangguan internet meluas seperti yang berlaku selepas gempa bumi Taiwan pada tahun 2006.

Antara rangkaian lain yang terjejas ialah Asia-Afrika-Eropah 1. Ia merupakan sistem kabel sepanjang 25,000 kilometer yang menghubungkan Asia Tenggara ke Eropah melalui Mesir. – AGENSI 



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button