Shello teruja tampil di Piala Dunia

Kuala Lumpur: Penyerang muda skuad hoki negara, Shello Silverius mengakui dia tidak gementar pada penampilan pertamanya di kejohanan Piala Dunia.

Sebaliknya anak jati Sabah itu berkata, dia nyata teruja untuk membuat penampilan pertamanya pada kejohanan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India bermula 13 hingga 29 Januari ini.

Justeru Shello bertekad untuk memberikan aksi yang terbaik sekiranya diberi peluang oleh jurulatih kebangsaan sekali gus mampu untuk membantu skuad kebnagsaan mencapai sasaran untuk mara ke suku akhir di kejohanan itu.



“Ini adalah Piala Dunia pertama saya dan bersyukur kerana terpilih untuk mewakili negara. Saya nak mengucapkan terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang memilih saya untuk berada dalam skuad kini.

“Berdebar tu takda sebaliknya teruja untuk beraksi bersama skuad kebangsaan di Piala Dunia.

“Sasaran peribadi saya adalah untuk buat yang terbaik dalam kejohanan yang berprestij tinggi ini dan ‘perform’ dalam setiap aksi yang diturunkan,” katanya.



Dalam pada itu Shello ketika ditanya berkenaan situasinya selepas mengalami mengalami patah tangan pada kempen Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara yang berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan baru-baru ini. Dia mengakui kini sudah boleh menarik nafas lega apabila kini mampu untuk memegang kayu hoki semula.

Bagaimanapun katanya, jurulatih masih belum memberinya lampu hijau untuk berlatih secara kontak bagi membenarkan tangannya benar-benar pulih sebelum Piala Dunia.

“Saya gembira ketika ini sudah boleh pegang stick. Malah ketika ini saya sudah boleh lakukan hit dan reverse dan rasa sakit itu sudah tidak ada.

“Cuma ketika ini barisan kejurulatihan masih belum benarkan saya untuk berlatih secara kontak.Sebab mereka kata tangan saya perlu simpan untuk beraksi nanti,”ujarnya.



Di saingan Piala Dunia kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama New Zealand, Chile dan juara tiga kali, Belanda.

Skuad negara akan menghadapi dua aksi peringkat kumpulan di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela menentang Belanda (14 Januari) dan Chile (16 Januari) sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.

Pencapaian terbaik Malaysian Tigers di Piala Dunia adalah tempat keempat di laman sendiri pada 1975, manakala edisi terakhir empat tahun lalu di India menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button