Impian Speedy Tigers ke suku akhir lebur



KUALA LUMPUR: Tuah tidak memihak kepada skuad hoki lelaki negara apabila tewas 3-4 di tangan Sepanyol menerusi penalti ‘shootout’ pada aksi penentuan ke suku akhir dalam saingan Piala Dunia 2023, sebentar tadi.

Aksi yang berlangsung di Stadium Kalinga di Bhubaneswar itu terpaksa ditentukan menerusi penalti ‘shootout’ selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebaik tamat masa sebenar perlawanan.

Ketika ‘shootout’ terakhir yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3, Marc Miralles berjaya menyudahkannya buat Sepanyol namun Firhan Ashari gagal menewaskan penjaga gol lawan, Mario Garin.

Kemenangan itu membolehkan Sepanyol melangkah ke suku akhir dan akan bertemu Australia manakala Speedy Tigers akan kembali ke Rourkela beraksi menentang pasukan bawahan bagi penentuan ranking.



Terdahulu, skuad negara bimbingan Arul Selvaraj bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi gol padang yang disudahkan penyerang prolifik, Faizal Saari pada minit ke-35.

Bagaimanapun, Sepanyol berjaya meledak dua gol pantas selepas itu menerusi penalti yang disempurnakan Miralles pada minit ke-41 sebelum Xavier Gispert meledak gol padang seminit kemudian untuk meletakkan pasukan berkenaan di depan 2-1.

Namun, Speedy Tigers tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-49 sekali gus mengheret perlawanan ke penalti ‘shootout’.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia di Piala Dunia sebelum ini ada menduduki tempat keempat di laman sendiri pada 1975, manakala edisi terakhir empat tahun lalu yang turut berlangsung di India menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15.



BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker