Bainun kini bersendirian membela diri sendiri



KUALA LUMPUR: Prosiding bela diri oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, bakal diteruskan dengan tertuduh membacakan penyataan saksi tanpa peguam bela.

Hakim Izralizam Sanusi membuat penetapan prosiding kes pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom down, Bella, itu diteruskan kerana tidak mahu lagi kes itu ditangguhkan selepas beberapa kali tertangguh sebelum ini.

Izralizam bertanyakan sama ada tertuduh sudah melantik peguam bela untuk memulakan prosiding hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh menjawab dia sudah memohon dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan memerlukan masa sebulan lagi bagi membuat persiapan akhir termasuk penyerahan dokumen dan meneliti kes itu.



Izralizam: Kamu tahu tak kepentingan dan keseriusan kes ini dihadapkan mahkamah ini berbanding kes sivil dan rayuan kamu itu?

Siti Bainun: Tahu

Izralizam: Saya nak tanya adakah kamu membuat aduan kepada Majlis Peguam atas tindakan (tarik diri) peguam kamu sebelum ini?

Siti Bainun: Tak, sebab mereka masih bantu saya termasuk menyediakan dokumen.



Izralizam mengulangi prosiding itu perlu diteruskan seperti tarikh ditetapkan bagi memastikan Siti Bainun dapat menyelesaikan pembacaan pernyataan saksi hampir setebal 200 muka surat itu hari ini dan esok.

Bagaimanapun, Siti Bainun turut memberitahu mahkamah, dia tidak membawa sebarang salinan pernyataan saksi hari ini menyebabkan Izralizam menangguhkan sesi itu seketika sebelum menentukan sama ada kes perlu diteruskan atau tidak.

Sebelum ini, semua peguam daripada lima firma yang membela kes tertuduh menarik diri dengan alasan tiada kelapangan masa dan pertindihan jadual kes lain.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella,13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.



Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker