West Ham menang 2-0 ke atas Derby

Moyes tak sabar lawan Man United

London: David Moyes akan berdepan bekas kelab, Manchester United di pusingan kelima Piala FA selepas jaringan Jarrod Bowen dan Michail Antonio memastikan West Ham menang 2-0 ke atas Derby County, awal pagi tadi.

Bowen membuka jaringan buat West Ham pada minit ke-10 sebelum Antonio memastikan kedudukan selesa menerusi gol pada awal babak kedua perlawanan pusingan keempat itu.

Pasukan bimbingan Moyes itu akan bertandang ke Old Trafford pada hujung Februari pada ketika mereka memburu slot final Piala FA buat kali pertama sejak 2006.



Ia akan menjadi kehadiran terbaru Moyes ke United selepas pengendali dari Scotland itu dipecat pada 2014 iaitu hanya 10 bulan selepas menggantikan Sir Alex Ferguson.

“Saya tidak sabar menanti perlawanan itu nanti. Ia adalah perlawanan yang bagus untuk kami,” kata Moyes.

“Mungkin ketika ini, ia adalah perlawanan yang kami perlukan kerana kami memiliki pemain yang mahu beraksi di peringkat tinggi.

“Tiada yang lebih besar berbanding Old Trafford, jadi saya berkata kepada pemain, ‘Mari kita ke sana, bermain dan mencabar mereka’,” katanya.



Mengelak daripada dimalukan Derby yang beraksi di bahagian tiga sudah semestinya tugas penting buat Moyes, tetapi perjuangan untuk kekal di Liga Perdana Inggeris (EPL) masih menjadi keutamaannya.

Skuad digelar Hammers itu kini menduduki tempat ke-16 EPL dan hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

“Ia adalah perlawanan sukaar kerana Derby melalui 16 perlawanan tanpa kalah. Akhirnya, kami menyempurnakan tugas secara profesional terhadap mereka,” kata Moyes.



Moyes melakukan enam pertukaran berbanding skuad West Ham yang menang 2-0 ke atas pasukan dalam zon penyingkiran EPL, Everton pada perlawanan terakhir mereka, sembilan hari lalu.

Walaupun melakukan rombakan besar, West Ham jelas terlalu kuat buat Derby, yang baru pulih daripada masalah pentadbiran dan tersingkir ke bahagian tiga buat kali pertama sejak 1986.

AFP




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading