Pemilihan Ketua Pemuda, ada yang ‘jual’ nama?

Siapakah individu tersebut?

Oleh – Ku Zairi Ku Kamal


Pemilihan Ketua Pemuda, ada yang cuba 'jual' nama?

Semakin hampir tempoh untuk pemilihan Umno, semakin hangat cerita politik kedai kopi seluruh negara. Tidak kurang juga ramai memperkatakan mengenai calon Ketua Pemuda Umno yang akan ditandingi.

Namun demikian, agak malang apabila kedengaran sudah bermula modus operandi ‘jual nama’ bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno.

Agak mengejutkan kerana nama yang cuba dikaitkan bukan calang-calang apabila turut mengheret nama sebuah istana dalam kancah pemilihan Umno.



Ini agak menggusarkan kerana nama istana tidak wajar sama sekali dikaitkan sebagai ‘perisai’ atau ‘kabel’ bagi mendapatkan jawatan dengan cara mudah.

Mungkin ada yang berpandangan dengan berselindung di sebalik ‘nama’ laluan mudah akan diberikan. Hakikat sebenar yang akan dinilai perwakilan kelak ialah kemampuan, strategi serta sikap individu itu sendiri dalam parti.

Sebagai calon yang merasakan mampu membawa aspirasi kepada parti serta mengembalikan keyakinan anak muda kepada parti, mereka yang menawarkan diri perlu belajar bersaing secara ‘rakyat’ dan bukannya berharap kepada pihak lain.

MAHU KETUA PEMUDA YANG BERTANGGUNGJAWAB, GLAMOUR ATAU OPPORTUNIS?

Ahli atau perwakilan menilai sendiri gerak kerja calon-calon serta melihat apakah mereka ini boleh bertanggungjawab atau sekadar mengejar jawatan dan glamour atau bersifat opportunis dalam politik.



Menjadi Ketua Pemuda Umno bukan sedikit cabarannya. Suara Pemuda perlu diangkat ke peringkat tinggi dan didengari kepimpinan Umno itu sendiri tanpa mengurangkan rasa hormat kepada Institusi parti.

Mungkin calon Ketua Pemuda boleh memikirkan bagaimana mahu menarik minat anak muda ke kancah politik yang lebih berwibawa dan lebih dinamik dengan gerak kerja yang tersususn dan tertib.

LIHAT KAWASAN CALON KETUA PEMUDA, KALAH ATAU MENANG SEMASA PRU15?

Malah, calon Ketua Pemuda itu sendiri menjadi ‘kayu pengukur’ kepada kemampuan Umno untuk sekurangnya bertahan di PRU16 kelak. Jika di tempat calon Ketua Umno itu sendiri tidak mampu dimenangi calon Umno/BN, bagaimana mahu memenangi kawasan lain?

Ini yang perlu difikirkan oleh para perwakilan kelak. Kemampuan seorang calon Ketua Pemuda bermula di kawasan mereka sendiri.

Lihat dan nilaikan, sekiranya kubu musuh pun calon Ketua Pemuda tidak mampu tembusi atau sekurangnya merampas undi bagaimana beliau mahu mempromosi diri sebagai calon Ketua Pemuda?

AKTIVITI DAYUS ‘JUAL NAMA’ PERLU DIHENTIKAN 

Calon Ketua Pemuda Umno perlu mengambil ikhtibar dari kepimpinan Ketua Pemuda Umno yang lepas-lepas. Pernahkah mereka fikirkan bagaimana mahu membantu ekonomi ahli Pemuda Umno di peringkat akar umbi?

Apa yang berlaku ialah, lazimnya manifesto meningkatkan ekonomi ahli Pemuda Umno akan sentiasa diselitkan namun pelaksanaannya ibarat ‘jauh panggang dari api’.

Seringkali manifesto yang digunakan hanyalah retorik politik bagi menarik sokongan ketika musim pemilihan dan akan diabaikan sebaik mendapat apa yang diingini.

Inilah kelemahan paling ketara dalam Pemuda Umno dan peluang sebegini telah diintai oleh parti politik lawan. Bagi mereka, peluang yang disia-siakan Umno perlu digunakan sebaik mungkin. 

Bukan sengaja membandingkan tetapi antara Pemuda Umno dan MUDA, perbezaan dari pembangunan ekonomi sangat berbeza malah kecekapan pemimpin MUDA yang mengambil peluang atas kelalaian Pemuda Umno begitu ketara.

PEMUDA UMNO ‘WAJIB’ KEMBALIKAN UNDI ANAK MUDA KEPADA UMNO

Untuk mengembalikan undi anak muda kepada Umno, sikap eksklusif yang sekian lama ‘membiak’ dalam Pemuda Umno perlu dihentikan.

Tidak perlu bergaya keterlaluan bagi menunjukkan imej Pemuda Umno sehingga sikap inklusi Umno itu sendiri hilang. 

Benar, Umno diwujudkan dalam istana namun perlu diingatkan, UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu dari jalanan hingga ke istana.

Dari berkain pelikat hingga berpakaian ala barat, dari menyarung kain batik di kepala hingga bertudung mengalahkan artis di pentas anugerah.

Bukan mudah untuk sesiapa sahaja memikul tanggungjawab selaku Ketua Pemuda Umno selepas ini kerana krisis kepercayaan terhadap Umno perlu dipulihkan sebelum PRU16 menjelma.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker