Blikra ungguli Peringkat 6 di Alor Setar

ALOR SETAR: Pelumba pasukan Uno-X Pro Cycling Team, Erlend Blikra muncul juara bagi perlumbaan Peringkat 6 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 dari George Town ke Alor Setar, sebentar tadi.

Kemenangan itu secara tidak langsung menamatkan penantiannya untuk meraih kemenangan di LTdL selepas terlepas beberapa peluang yang menyaksikan dia berada di tempat kedua pada Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur dan keempat di Peringkat 2 (Kuala Kelawang ke Raub).

Pada perlumbaan yang menyaksikan penamat beramai-ramai dengan catatan dua jam 49 minit dan 42 saat (s) itu, Blikra berjaya mengetepikan pelumba Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa yang berada di tempat kedua dan Rudiger Selig (Lotto Soudal), ketiga.



“Kami sentiasa mencuba setiap hari dan akhirnya kami berjaya, dan ini seuatu yang sangat menakjubkan,” kata Blikra kepada media selepas tamat perlumbaan di Dataran Alor Setar.

Untuk rekod, ini adalah kemenangan kedua buat pelumba dari Norway selepas kali terakhir dilakukan Bjonar Vestol yang pada ketika itu bersama pasukan Acceptcard Cycling pada 1999.

Blikra juga turut berjaya merampas Jersi Hijau (Raja Pecut) dari Max Kanter (Movistar) selepas memungut 40 mata sebelum perlumbaan kini hanya berbaki dua peringkat lagi di Langkawi.

Begitupun Blikra berkata, perlumbaan peringkat hari ini tidak begitu mencabar mungkin disebabkan beberapa faktor terutama cuaca hujan yang ‘menemani’ mereka dari awal saingan lagi.



“Mungkin juga mereka kepenatan kerana tiada siapa mahu mengambil peluang ini. Saya juga melakukan pecutan awal tetapi tiada siapa mampu memintas saya. Apapun, ini adalah kemenangan yang manis buat saya kerana ini kejayaan pertama dalam saingan profesional,” katanya.

Dalam pada itu Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan masih kekal disarung pelumba Movistar, Ivan Sosa manakala Hugh Carthy (EF Education-EasyPost) mengejar di tempat kedua.

Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff kekal menyarung Jersi Merah untuk gelaran Raja Bukit manakala rakan sepasukannya, Jambaljamts Sainbayar mempertahankan Jersi Putih (Terbaik Asia).

Peringkat 7 LTdL 2022 dijadual berlangsung dari Kuah ke Gunung Raya esok membabitkan laluan sejauh 90.8 kilometer (km) dengan membabitkan tiga zon pecutan dan dua zon pendakian di Lebuhraya Langkawi dan Gunung Raya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button