Van terbabit kemalangan tujuh maut ada lesen bas persiaran

Kuala Lumpur: Van persiaran terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, sehingga menyebabkan kematian tujuh orang, semalam, didapati memiliki lesen bas persiaran.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) berkata, semakan awal mendapati bas itu dilesenkan di bawah kelas lesen bas persiaran.

Menurutnya, dalam perkara ini, Apad memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan insiden kemalangan terbabit.



“Apad akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (Jisa), dan juga turut memanjangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk tindakan penguatkuasaan berkaitan.

“Dalam masa yang sama, Apad juga akan memohon kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan menganalisis punca nahas jalan raya yang menyebabkan kematian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Apad berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana pemegang berlesen yang tidak mematuhi ketetapan syarat lesen, dan pihak terbabit boleh dikenakan tindakan tegas ke atas syarikat berkenaan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.



“Di bawah akta sama, mana-mana pengendali yang didapati melanggar mana-mana syarat lesen boleh dikenakan tindakan dan sekiranya disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih dari RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seramai tujuh maut dan tujuh lagi cedera selepas van persiaran dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataan memaklumkan laporan kemalangan diterima pada 1.15 tengah hari.



Menurut kenyataan itu, seramai 14 individu menaiki van berkenaan terdiri daripada 12 wanita dan dua lelaki.

Van terbabit dipercayai terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan mengakibatkan tujuh daripada penumpang maut akibat kejadian itu.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading