Sorok ratusan bilion, bekas Menteri Kewangan dipanggil SPRM

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Menteri Kewangan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Pandora Papers, yang mendedahkan mengenai penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion ringgit.

Difahamkan, menteri berkenaan sudah diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

BH dimaklumkan, siasatan ketika ini adalah menjurus kepada kekayaan luar biasa yang dimiliki beberapa individu, termasuk bekas menteri dan individu kenamaan lain serta keluarga mereka, selain kaitannya dengan syarikat luar pesisir di luar negara.



SPRM juga menyiasat kemungkinan ada hubung kait kewangan yang dimiliki, hasil daripada tender dan projek kerajaan. Setakat ini, tiada pembekuan aset dilakukan oleh SPRM.

BH cuba mendapatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berhubung perkara ini, namun belum berhasil setakat ini.

Pandora Papers, antara lain menyebut, kira-kira 12 individu Malaysia, termasuk empat ahli politik, antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang pernah mengusulkan untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers.



Beliau pada sesi Parlimen 2021, berang malah menuduh Speaker Dewan Rakyat ketika itu sengaja menolak usul itu, malah mendakwa , Datuk Azhar Azizan bertindak sebagai ‘peguam bela’ kepada pemimpin politik dan ahli perniagaan yang dikaitkan dalam laporan itu.

Anwar berkata, pendedahan Pandora Papers itu perlu dibentang dan dibahaskan dengan segera kerana wujud dakwaan menyatakan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, mencecah ratusan bilion ringgit.

Katanya, ia wajar dibahaskan segera kerana ia bukan saja membabitkan Pandora Papers, tetapi juga laporan Global Financial Integrity (GFI) 2012 serta pendedahan Panama Papers pada 2015.

GFI dan Panama Papers antara lain mendedahkan pengaliran wang serta negara secara haram ke luar negara berjumlah RM1,800 bilion sejak 2004 hingga 2015.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button