Rumah kampung jadi stor simpan dadah

Oleh – Syeikh Baran


Rumah kampung jadi stor simpan dadah
KUMAR (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan yang berisi dadah yang dirampas bernilai RM2.73 juta pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

Sindiket penyeludupan dadah antarabangsa tumpas setelah lapan individu termasuk dalang sindiket ditahan dalam lima serbuan di tiga negeri, pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan bermula 6.30 petang hingga 7 pagi turut merampas pelbagai jenis dadah hampir 83 kilogram (kg) bernilai RM2.73 juta.



Katanya, kesemua suspek berusia 23 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor di Parit Jawa, Muar; Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Muadzam Shah, Pahang.

“Modus operandi sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menjadikan rumah kampung sebagai transit dan stor penyimpanan dadah sebelum diseludup ke negara jiran melalui jalan laut oleh tekong laut.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 80 bungkusan plastik syabu dalam bungkusan teh cina seberat 82.86 kg, pil ekstasi seberat 2.78 gram dan ketamin 2.5 gram dengan nilai rampasan RM2.73 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut menyita lapan buah kenderaan, 12 buah motosikal, pelbagai barang kemas, jam tangan mewah dan wang tunai dengan jumlah sitaan RM1.78 juta.



Kumar berkata, kegiatan sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran ini telah aktif beroperasi sejak Jun tahun lalu, manakala hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Semakan rekod pula mendapati tujuh suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah termasuk seorang suspek mempunyai rekod orang dikehendaki.

“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sejak awal tahun hingga Khamis lalu, polis telah merampas 207.58kg bernilai RM4.32 juta dan menahan seramai 1,644 individu bagi pelbagai kesalahan dadah.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button