Raub daerah pertama dilanda banjir musim tengkujuh tahun ini

04/12/2020 08:43 AM

KUANTAN, 4 Dis — Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir musim tengkujuh di Pahang tahun ini, apabila 55 mangsa daripada 19 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), awal pagi ini.

Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Sharulnizam Nasir berkata hujan berterusan sejak 6 petang semalam, menyebabkan kawasan rendah di empat kampung di daerah itu dinaiki air mulai 12.30 tengah malam.



“Operasi memindahkan mangsa dari Kampung Tersang, Kampung Batu Talam, Kampung Kuala Semantan dan Kampung Ulu Sungai bermula sekitar 1 pagi yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi keselamatan lain.

“Selain itu, bomba juga terlibat dalam operasi mengalihkan empat pokok tumbang di sekitar daerah Raub yang diakibatkan oleh angin kuat di Jalan Raub-Bukit Fraser, Taman Makmur dan Kampung Ulu Sungai,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Shahrulnizam berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang makluman berkaitan kejadian tidak diingini akibat banjir dan akan terus berwaspada memandangkan cuaca masih hujan renyai dan mendung.

Sementara itu, portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan empat PPS dibuka iaitu Balai UMNO Batu Talam yang menempatkan enam mangsa daripada empat keluarga, Masjid Kampung Kuala Semantan (19 mangsa, enam keluarga), Balai Raya Kampung Ulu Sungai (20 mangsa, enam keluarga) dan Sekolah Kebangsaan Tersang (10 mangsa, tiga keluarga).



HASUT RAKYAT BERONTAK BANTAH PKP – KETUA PEMUDA UMNO RAUB BUAT LAPORAN POLIS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button