Mangsa banjir di tiga daerah di Johor meningkat

JOHOR BAHRU: Tiga daerah di negeri ini iaitu Batu Pahat, Muar dan Tangkak terus mencatatkan jumlah mangsa banjir yang meningkat pada jam 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata pertambahan jumlah mangsa banjir di tiga daerah itu menyumbang kepada meningkatnya jumlah mangsa banjir di seluruh negeri iaitu kini seramai 40,141 orang daripada 11,468 keluarga di 202 pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, berkata Batu Pahat terus menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa banjir apabila bertambah kepada 27,774 orang daripada 7,898 keluarga di 91 PPS.



“Di Muar pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,080 orang daripada 1,227 keluarga di 21 PPS, manakala Tangkak, jumlah mangsa banjir meningkat menjadi 2,536 orang (780 keluarga) di 23 PPS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmi berkata, tiga daerah lain pula, Segamat, Kluang dan Kota Tinggi masing-masing menunjukkan trend menurun.

Katanya, Segamat kini terdapat seramai 2,034 mangsa banjir daripada 500 keluarga di 33 PPS; Kluang terdapat seramai 1,310 mangsa (362 keluarga) di 12 PPS dan mangsa banjir di Kota Tinggi pula semakin berkurang menjadi 1,138 orang (325 keluarga) di 12 PPS.



“Bagi Mersing dan Pontian pula, jumlah mangsa banjir di daerah masing-masing kekal dengan 1,162 mangsa banjir (347 keluarga) di enam PPS dan 107 mangsa (29 keluarga) di tiga PPS,” katanya.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan atau ribut petir di semua daerah di Johor dan laporan cuaca sebenar juga menunjukkan semua daerah di negeri ini dilaporkan tidak hujan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button