Remaja Miskin Kini Pereka Kasut Tersohor

 

Jamil Shah baru berusia 14 tahun ketika meninggalkan Bihar semata-mata untuk mengejar impiannya di Mumbai.

Remaja berlatar belakang keluarga miskin ini tidak pernah bermimpi untuk menjadi terkenal. Dia hanya mahu berada dekat dengan selebriti ternama Bollywood kegemarannya dan bergambar dengan mereka, itu saja.

Kaki Lima, Jambatan Tempat Berlindung

Tidur di kaki lima, berlindung di bawah jambatan, berlapar selama beberapa hari malah pernah ditipu Rs. 25,000 oleh rakannya sendiri yang kononnya sedang mengaturkan pertemuan dengan bintang Bollywood, itu antara perih jerih yang pernah dilalui Jamil.

Namun, pemuda berhati kental ini tidak pernah menyerah untuk melihat sendiri dan menari dengan bintang kesayangannya.

Dia melakukan apa saja pekerjaan yang mendatangkan hasil termasuk menjadi buruh dan juga pengawal keselamatan.

Dia kemudian bekerja di sebuah kilang membuat aksesori kulit di Dharavi termasuk membuat kasut.

“Saya selalu bermimpi bertemu artis terkenal. Saya juga suka menari dan mula belajar bahasa Inggeris. Saya tidak mungkin dapat merealisasikan impian ini jika saya masih terus bekerja di kilang itu,” katanya.



Kehidupan Mula Berubah

Hidupnya mula berubah apabila melihat poster kelas tarian anjuran koreografer Sandeep Soparrkar yang turut mengajar tarian Latin, Itali dan pelbagai lagi.

Jamil terus mendaftar untuk menyertai institut tarian itu. Menerusinya, Jamil berpeluang membuat persembahan dalam sebuah program realiti tarian.

“Satu hari saya terima panggilan dari Sandeep untuk ke rumahnya dan membawa beberapa pasang kasut. Namun apa yang mengejutkan, Farah Khan, Kajol, Ameesha Patel, Sonali Bendre juga ada bersama.

“Sandeep memperkenalkan saya sebagai seorang pereka kasut. Semua mengagumi rekaan saya dan tidak lama selepas itu saya mula menerima tempahan,” cerita Jamil.

Mula Terima Tempahan

Sejak itu dia mula menerima panggilan untuk membuat kasut yang ditempah khas dalam kalangan selebriti.

Kini, Jamil mereka kasut untuk hampir semua bintang ternama Bollywood termasuk Hrithik Roshan, Ami Khan, Varun Dhawan, Priyanka Chopra, Kangana Ranaut, Katrina Kaif, Aliya Bhat, Urvashi Rautela, Nora Fatehi dan Ranveer Singh.

Bukan saja di Bollywood, malah nama Jamil kini turut terkenal di peringkat antarabangsa. Kasut rekaannya juga pernah dipakai penyanyi terkemuka Shakira, ketika berkunjung ke India.

Penyanyi tersohor Australia, Barbara Moore dan aktres serta penyanyi Kylie Minogue juga pernah menjadi pelanggan Jamil.

Kini pada usia 40 tahun, Jamil berbangga dapat mempamerkan gambarnya bersama barisan selebriti yang pernah menggayakan kasut rekaannya.

Malah saiz kilang yang dulu hanya sebuah unit kecil kini telah berkembang dengan lebih 12 pekerja, sebuah bilik pameran di Bandra, dan di rumahnya sendiri di Mumbai.

“Saya tidak berkesempatan untuk menyambung pelajaran, oleh itu saya akan memastikan dua adik lelaki saya akan berjaya dalam pelajaran. Saya sudah mencapai apa yang saya impikan,” katanya menutup bicara.

fmt

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button