Sukar untuk saya lelapkan mata – Xavi

BARCELONA: Xavi Hernandez mengakui sukar untuk melelapkan mata selepas Real Madrid memalukan pasukannya Barcelona 4-0 dalam saingan Copa del Rey di Camp Nou, awal pagi tadi.

Los Blancos mara ke pentas final dengan agregat 4-1 sekali gus meleburkan rekod juara 31 kali Piala Sepanyol itu selepas Vinicius Junior membuka tirai jaringan manakala Karim Benzema meledak hatrik pada babak kedua permainan.

Xavi pernah menjadi tonggak utama Barcelona meraih kemenangan ke atas Madrid dalam tiga pertemuan terakhir ‘Clasicos’ namun Madrid berjaya menamatkan badi berkenaan untuk bertemu Osasuna di pentas final pada 6 Mei ini.



“Kami dikecewakan hari ini. Ia akan sukar untuk melelapkan mata, lebih-lebih lagi sebagai penyokong tegar Barca,” kata Xavi.

“Saya memberitahu pemain (mengenai kekalahan ini mungkin boleh berlaku) kami mempunyai peluang tetapi ia dengan 1-0. Sesuatu yang memalukan kerana kami bersaing dengan baik pada pusingan pertama dan itu adalah detik buat kami.

“Pada pusingan kedua, Madrid lebih baik, jujurnya mereka lebih baik daripada sudut fizikal dan memberikan tekanan kepada kami. Tiada alasan untuk itu.”

Walaupun tewas, Barcelona masih boleh meraih gelaran La Liga apabila mempunyai kelebihan 12 mata berbanding Real Madrid di tempat kedua.



Barcelona juga menewaskan seteru mereka itu dalam saingan final Piala Super Sepanyol pada Januari lalu.

“Sekiranya kami menang La Liga dan Piala Super, ia adalah satu musim yang baik,” kata Xavi. “Masih ada 11 perlawanan, dan kami perlu terus mempamerkan persaingan.”

AFP




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading