Arahan kerja dari rumah dikeluarkan akibat pencemaran berbahaya di Chiang Mai

CHIANG MAI: Pihak berkuasa Thailand menggesa orang ramai di bandar Chiang Mai untuk kekal di dalam rumah dan bekerja dari rumah berikutan pencemaran udara di kawasan itu yang berada di tahap berbahaya.

Pencemaran udara dipercayai berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan petani membakar tanaman, menyelubungi destinasi pelancongan popular itu sejak beberapa minggu lalu.

Laman web pemantauan udara IQAir pada pagi ini meletakkan Chiang Mai sebagai bandar utama paling tercemar di dunia, mendahului kawasan panas biasa seperti New Delhi di India dan Lahore, Pakistan.



Menurut IQAir, paras zarah PM2.5 yang paling berbahaya (sangat kecil sehingga boleh memasuki aliran darah) di Chiang Mai berada pada tahap lebih daripada 66 kali ganda garis panduan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Gabenor wilayah Chiang Mai, Nirat Pongsittitavorn dalam kenyataan, menggesa orang ramai untuk tinggal di dalam rumah dan bekerja dari rumah bagi melindungi diri mereka dan mengurangkan kesan kesihatan daripada zarah PM2.5.

Thailand mula berjerebu akibat peningkatan pencemaran udara sejak awal tahun, sebahagiannya disebabkan oleh pembakaran pertanian bermusim.

Hampir dua juta orang memerlukan rawatan di hospital untuk masalah pernafasan yang disebabkan oleh pencemaran udara pada tahun ini, menurut kementerian kesihatan awam.

Pegawai sebelum ini memberi amaran kepada penduduk Bangkok untuk kekal di dalam rumah dan bekerja dari rumah pada Februari lalu kerana ibu kota itu diselubungi jerebu berbahaya.



AFP


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading