SPRM sita harta RM3 juta dipercayai milik pegawai kedutaan di Bangladesh

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh kerana disyaki menerima wang rasuah bagi pengeluaran Visa Luar Negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Dua pegawai terbabit masing-masing lelaki dan wanita direman selama tiga hari bermula kelmarin hingga hari ini selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM untuk perintah reman pada Selasa lalu.

Menurut sumber, SPRM mengesan beberapa transaksi kemasukan wang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek dan mereka sudah diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes terbabit.



Lebih 20 akaun bank membabitkan individu dan syarikat berkaitan sudah diambil tindakan pembekuan.

Hingga hari ini, pembekuan akaun dan penyitaan harta alih dan tak alih membabitkan penyitaan lapan bidang tanah dianggarkan berjumlah kira-kira RM3.1 juta.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

“Saya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa tangkapan lain yang akan dibuat selepas ini,” katanya sambil menambah SPRM juga sedang mengesan seorang individu, Siti Liyana Sakijan untuk membantu dalam siasatan berkenaan.



Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Jayaraj Rajan di talian 016-6371082.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button